22 July 2019, Monday | 04:24am

Pogba tak sabar tinggalkan United

2019-06-17

 

MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba dilaporkan bersedia untuk melakukan segala-galanya bagi membolehkan dia meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas nanti.

 

Pogba yang dikatakan mula bosan dengan kehidupan di Manchester akan mengemukakan permohonan kepada United supaya melepaskannya dengan bekas kelab lamanya, Juventus dan Real Madrid sedia untuk menyambar khidmatnya.

 

Difahamkan, pemain antarabangsa Perancis itu sedia untuk memberontak sekiranya United enggan menunaikan hasratnya, sama seperti yang dilakukan Thibaut Courtois ketika memaksa Chelsea melepaskannya ke Real musim lalu.

 

Pogba yang akan berlepas ke Amerika Syarikat untuk bercuti, menyerahkan segala urusan tersebut kepada ejennya, Mino Raiola bagi membincangkan urusan perpindahan ke Real yang dijangka menelan belanja £150 juta (RM787 juta).

 

Produk akademi United itu pernah bertelagah dengan bekas pengurus, Jose Mourinho sehingga menyebabkan dia tawar hati untuk terus menyarung jersi skuad The Red Devils meskipun Ole Gunnar Solskjaer sudah mengambil alih tugas Mourinho.

 

Dalam pada itu, hasrat Pogba untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu makin berkobar-kobar selepas pemain baharu Real, Eden Hazard menggesa dia untuk membentuk gandingan bersamanya di ibu kota Sepanyol berkenaan.

Selain itu, urusan perpindahan Pogba ke Real juga dijangka berlaku memandangkan ada spekulasi yang mendakwa pegawai kedua-dua pasukan sudah mengadakan pertemuan di London ketika melengkapkan perpindahan Hazard. – Agensi

 

Sumber:Kosmo/https://bit.ly/2WLUxmQ

 

No votes yet