20 November 2019, Wednesday | 01:36pm

PM Lee hargai kesudian Raja Permaisuri Agong sediakan sambal belacan istimewa

2019-10-29

 

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong melahirkan rasa penghargaan yang tidak terhingga di atas kesudian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyediakan sambal belacan istimewa air tangan Baginda kepada keluarganya sejak sekian lama.

"Terima kasih atas kesudian dan kebaikan Raja Permaisuri Agong, menghantar kepada bapa (dan saya) sambal belacan sungguh istimewa sejak sekian lama ini!," kata Lee dalam laman Twitternya.

"Saya berharap Raja Permaisuri gembira menghasilkannya seperti mana kami menikmatinya!," Lee mengakhiri kata-kata itu dengan emotikon wajah tersenyum.

Tanpa diketahui ramai, "diplomasi belacan" secara tidak langsung menjadi alat dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura.

 

Related image

Lee Hsien Loong

 

Perkara ini diketahui apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada 25 Okt berkongsi rahsia bagaimana sambal belacan air tangan Baginda menjadi kegemaran Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam Twitter itu, Tunku Azizah, yang lebih dikenali sebagai cheminahsayang dalam Twitter media sosial, menyatakan bahawa Baginda pada satu ketika dahulu, "pembekal rasmi" sambal belacan kepada Kuan Yew.

Malahan, Raja Permaisuri Agong masih membekalkan sambal belacan ke Republik itu. Sambal itu kini terus dinikmati dan digemari oleh anak lelaki Kuan Yew pula, yang juga Perdana Menteri Singapura sekarang ini, Lee Hsien Loong.

"Telah lama saya ingin berkongsi (rahsia) ini dengan rakyat Malaysia. Saya pernah menjadi pembekal rasmi sambal belacan kepada Perdana Menteri Singapura... Datuk Lee Kuan Yew ... dan kini pembekal kepada anaknya, PM Lee," Raja Permaisuri Agong bertitah dalam laman Twitter.

Tunku Azizah turut berkongsi gambar sepucuk surat yang ditulis oleh Kuan Yew mengenai perkara ini dalam akaun Instagram airtangan_tunkuazizah.

Surat berkenaan bertarikh 23 Julai, 2009 ditulis: "Enam paket (sambal) belacan yang diberikan kepada saya sungguh sedap. Saya berkongsi dengan dua anak lelaki saya. Semua telah habis dimakan. Ia cili belacan yang paling sedap pernah kami rasai. Bolehkah keluarga saya dapatkannya lagi ?

"Harap maaf kerana terpaksa menyusahkan. Tetapi ia telah menjadikan banyak masakan lebih berperisa."

Tunku Azizah, yang memuatkan gambar itu pada 2 Mei, 2018, bertitah bahawa surat itu amat bernilai kepada Baginda sendiri.

"... semuanya kerana sambal belacan ... Saya begitu terharu," titah Tunku Azizah.

Akaun Instagram airtangan_tunkuzaizah menyimpan koleksi resipi Raja Permaisuri Agong, memaparkan populariti Baginda sebagai ahli Kerabat DiRaja yang gemar memasak.

-- BERNAMA

 

 

Sumber: Astro Awani

Foto: TODAYonline

No votes yet