3 December 2020, Thursday | 02:39pm

Pharmaniaga hampir sedia botolkan vaksin COVID-19

2020-11-20

KUALA LUMPUR: Kemudahan sedia ada Pharmaniaga Bhd hampir sedia sepenuhnya menjalankan proses pembangunan pembotolan vaksin COVID-19 apabila kerajaan memutuskan pembelian vaksin itu kelak.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata kilang sedia Pharmaniaga ketika ini sudah 80 peratus bersedia dan hanya menunggu keputusan kerajaan dalam pembelian daripada pengeluar vaksin.

"Dari segi kapasiti, logistik dan pengedaran, Pharmaniaga sudah bersedia untuk pembotolan vaksin ini. Ini kerana, kami mempunyai pengalaman selama 25 tahun melaksana, mengedar dan menghantar vaksin ke semua klinik serta hospital di Malaysia.

"Ruang simpanan kami juga mempunyai kapasiti untuk penyimpanan vaksin yang memerlukan suhu simpanan serendah negatif lapan darjah Celsius.

"Kumpulan juga sudah menjalankan perbincangan dengan kerajaan serta kementerian lain yang terbabit untuk memastikan simpanan dan pelaksanaan vaksin COVID-19 ini mengikut standard yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat prestasi kewangan Pharmaniaga suku ketiga berakhir 30 September 2020 secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga menjangkakan vaksin COVID-19 yang sedang menjalani ujian klinikal di beberapa negara dijangka berada di Malaysia pada suku pertama 2021.

Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan perbincangan pembelian bersama antara tujuh hingga lapan pengeluar di seluruh dunia.

"Pharmaniaga bersedia untuk mengedarkannya di pasaran tempatan dalam tempoh kurang dua bulan selepas vaksin itu diterima, apabila perjanjian pembelian dimuktamadkan kerajaan," katanya.

Mengenai perancangan kumpulan pada masa depan, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga sebagai syarikat farmaseutikal terbesar di Malaysia akan mewujudkan kemudahan vaksin halal pertama di dunia dengan pengeluarannya disasarkan bermula pada 2024.

Katanya, kemudahan itu juga akan membolehkan kumpulan mengeluarkan produk vaksin halal sendiri yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kami akan bergerak dalam tiga fasa iaitu menaik taraf kilang sedia ada di Puchong sebelum memastikan penyediaan ke arah vaksin serta penyelidikan dan pembangunan.

"Selepas itu kami akan membangunkan vaksin halal sendiri. Kami optimis ia akan menjadi kemudahan vaksin halal pertama di Malaysia dan juga dunia," katanya.

Pharmaniaga mencatatkan keuntungan bersih RM1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, daripada pendapatan RM625 juta yang diraihnya dalam suku dikaji.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, keuntungan bersihnya meningkat 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM33 juta.

Berasaskan prestasi kukuh ini, Lembaga Pengarah Pharmaniaga mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.5 sen sesaham.

Sumber: BH Online

 

No votes yet