6 October 2024, Sunday | 08:32pm

Percutian di lapangan terbang

2020-10-22

KEBIASAANNYA, lapangan terbang menjadi lokasi tumpuan ramai untuk menggunakan perkhidmatan kapal terbang sama ada destinasi dalam mahupun luar negara.

Bagaimanapun, tahukah anda, lapangan terbang boleh menjadi destinasi percutian menarik untuk keluarga?

Menerusi program Airport Staycation di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), anda berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama keluarga di sana.

Program anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad dengan kerjasama Sama-Sama Hotel KLIA ini hanya terhad kepada 20 keluarga pada setiap sesi yang hanya dibuka pada hari tertentu sahaja.

Pada 26 September lalu (sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), penulis bersama dua anak masing-masing berusia 7 dan 9 tahun buat pertama kali berpeluang menyertai program ini.

Menerusi program Airport Staycation ini, kami berkesempatan membuat lawatan eksklusif ke Perkhidmatan Bomba Dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

Harga pakej Airport Staycation ini adalah RM440 untuk keluarga bersama dua anak berusia bawah 11 tahun membabitkan program selama dua hari satu malam.

Bagaimanapun, bayi tidak dibenarkan ke AFRS atas sebab keselamatan. Oleh itu, suami terpaksa berkorban menjaga seorang lagi anak berusia tiga tahun di hotel sementara saya menemani dua lagi anak kami.

Kami sepatutnya mendaftar masuk ke hotel jam 2 petang kerana perlu sertai lawatan ke AFRS 2.45 petang.

Pada pagi itu, kami baru saja balik dari bercuti di Pulau Tioman. Alhamdulillah kami selamat tiba di hotel 2.30 petang dan ketika itu, bas sudah sedia menunggu peserta Airport Staycation.

Alhamdulillah, rupanya masih ada peserta yang belum tiba, jadi kami sempat bersiap sebentar. Ada kod pakaian yang perlu dipatuhi iaitu seluar panjang, baju-T, kasut serta memakai jaket keselamatan yang diberikan.

Pada 2.45 petang, kami menaiki bas yang disediakan untuk ke AFRS.

Untuk ke AFRS, kami perlu turun dari bas dan menjalani pemeriksaan keselamatan dan suhu badan serta dipakaikan tag berwarna merah jambu di pergelangan tangan. Selepas itu kami masuk semula ke dalam bas untuk ke AFRS.

Sebaik tiba di AFRS, kami disajikan pertunjukan 'Selamat Datang' daripada anggota bomba dan kami diberikan taklimat oleh Pegawai AFRS KLIA.

Di sini, kami juga berpeluang melihat demonstrasi trak bomba airport menyimbah air untuk memadamkan kebakaran di lapangan terbang. Biarpun berada jauh, kami boleh rasakan percikan air daripada semburan air itu.

Kemudiannya kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk merasai sendiri pengalaman menjadi anggota bomba & penyelamat AFRS di empat stesen yang disediakan iaitu 'Donning Fire Suit' (berpeluang gayakan uniform dan peralatan bomba), Fire Truck Joy Ride (naik trak bomba dan dibawa di sekitar stesen, Fire Extinguisher Training (diajar menggunakan pemadam api) dan Fire Escape (jalani simulasi menyelamatkan diri dari bangunan yang terbakar).

Penulis dan anak cukup gembira dan teruja dengan aktiviti yang dijalankan di semua stesen. Kami kemudian kami dibawa pulang ke hotel untuk berehat dan melakukan aktiviti bebas.

Pada keesokan hari, kami mengikuti program Little Chef Cilik di hotel. Dua anak cukup teruja apabila memakai apron dan topi cef.

Terdahulu, Cef Ahmad Tarmizi menunjukkan demonstrasi mendekorasi kek yang disediakan. Selepas itu semua kanak-kanak berpeluang menghias kek mereka menggunakan kreativiti sendiri.

Selepas selesai menghias kek, pihak hotel membenarkan semua peserta membawa pulang kek yang dihias, apron dan topi cef.

Sijil penyertaan juga diberikan kepada semua peserta.

Sumber: myMetro

 

No votes yet