9 December 2019, Monday | 04:51am

Perak, Selangor, Melaka tempah slot suku akhir Piala Malaysia

2019-09-19

 

Juara bertahan, Perak akhirnya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Piala Malaysia walaupun terikat 1-1 menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Rabu.

Dalam aksi Kumpulan C itu, skuad Bos Gaurus yang juga juara lapan kali, membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi rembatan leret penyerang import dari Brazil, Ronaldo Henrique, namun pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Maxsius Musa pada minit ke-48, hasil sepakan percuma Mohd Azzizan Nordin.

Satu lagi aksi kumpulan itu menyaksikan juara empat kali, Pahang yang terlebih dahulu telah mengesahkan tempat di suku akhir, mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.

Skuad Tok Gajah membuka jaringan menerusi pemain import berasal dari Perancis, Herold Mark Goulon pada minit ke-52, sebelum A. Segar menjaringkan gol sendiri lima minit kemudian untuk membantu Pahang muncul juara kumpulan dengan 15 mata, diikuti oleh Perak (9), Pulau Pinang (5) dan empat mata oleh Sabah.

Sementara itu, pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia, Selangor, turut mara ke suku akhir selepas mencatatkan kemenangan 2-0 atas Felda United FC pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

 

Pada aksi suku akhir nanti, Pahang akan bertemu Melaka, Selangor akan berhadapan Perak dan Terengganu FC mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT). - BERNAMA
 


Juara sebanyak 33 kali itu, membuka jaringan menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-16, sebelum Mohd Khyril Mhymeen Zambri menggandakan jaringan buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-72.

Perlawanan itu turut dicemari dengan insiden kad merah apabila pengadil perlawanan mengarahkan pemain Felda United, Thiago Junio keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-87.

Keputusan itu juga membantu Melaka yang terikat 2-2 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, mara ke peringkat lapan terakhir.


Melaka yang turun selaku pasukan pelawat, bermula garang menerusi jaringan pemain import dari Serbia, Luka Milunovic seawal minit kesembilan, tetapi skuad 'The Cops' menyamakan kedudukan dalam masa seminit sahaja menerusi Muhammad Fakrul Aiman Sidid.

PDRM kemudian mengejutkan Melaka dengan jaringan penyerang import dari Nigeria, Uche Agba pada minit ke-31, namun Melaka berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti bekas kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim pada minit ke-54, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Selangor muncul juara kumpulan dengan 10 mata, diikuti Melaka (8), Felda United (7) dan PDRM (6).

Pada aksi suku akhir nanti, Pahang akan bertemu Melaka, Selangor akan berhadapan Perak, Terengganu FC mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala lawan bagi Kedah bakal ditentukan selepas perlawanan Kumpulan B di antara Petaling Jaya City FC dan PKNP FC, Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

Sumber: Astro Awani

No votes yet