GUA MUSANG: Trafik di jalan utama Kuala Lipis-Gua Musang dan Kuala Krai di sini meningkat mendadak sejak petang semalam selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Tinjauan mendapati ramai pengguna jalan raya terbabit dari Lembah Klang yang menghantar ahli keluarga tinggal di kampung untuk mengelak kerumitan PKPB yang bermula tengah malam ini hingga 27 Oktober depan.
Ketika ditemui, mereka berkata pulang ke kampung untuk menghantar anak dan isteri tinggal bersama keluarga bagi menggelakkan kerumitan PKPB.
Malah, menurut seorang penjawat awam di Kuala Lumpur, Zainal Abidin Sulaiman, 36, adalah lebih selesa tinggal seorang diri dalam tempoh PKPB itu.
Katanya, mereka mengambil peluang itu menghantar ahli keluarga ke kampung kerana sukar untuk merentas daerah apabila PKPB dikuatkuasakan nanti.
Beliau berkata berkata, tempoh PKPB itu pula belum dapat ditentukan sampai bila walaupun peringkat permulaan ini sehingga 27 Oktober nanti.
"Kalau tinggal seorang tentu tidak bimbang lagi berhubung penularan COVID-19.
"Kita boleh bergerak bersendiri ke mana sahaja dengan mematuhi PKPB serta prosedur operasi standard (SOP)," katanya di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penduduk Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur dilarang merentas sempadan bermula jam 12.01 malam ini.
Seorang lagi warga kota, Fauzi Yaacob, 41, berkata, langkah kerajaan melaksanakan PKPB tepat untuk memutuskan rangkaian COVID-19.
Bagaimanapun, katanya, beliau juga terpaksa menghantar anak dan isteri tinggal bersama keluarga di kampung dekat Pasir Mas.
"Dalam keadaan itu, saya pun bimbang dengan kesihatan anak dan isteri jika mereka tinggal bersama saya di Kuala Lumpur.
"Adalah lebih selamat saya hantar mereka tinggal di kampung. Lagipun tinggal di Kuala Lumpur ada halangan pergerakan kerana PKPB," katanya.
Sumber: BH ONLINE