Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mempunyai pelbagai jenis perkhidmatan pengangkutan awam yang boleh digunakan. 

"Kalau rasa tak selamat jangan naik. Kita ada pilihan dan kita tidak paksa kamu guna perkhidmatan motosikal itu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan bersama Perdana Menteri Sesi 2 Tahun 2019 di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkhidmatan teksi motosikal, Gojek yang didakwa mengancam keselamatan terutamanya pelanggan wanita. 

Kosmo! semalam melaporkan Kabinet bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek.

Bagaimanapun, jemaah menteri memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan. 

Sementara itu, Mahathir berkata, pelaksanaan perkhidmatan Gojek di negara ini dapat membantu pengusaha tempatan yang menjalankan perniagaan kecil. 

"Jika Gojek datang ke sini, ia akan memberi manfaat kepada peniaga kecil," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, sesuatu dasar atau pendekatan yang ingin dilaksanakan kerajaan akan ada tentangan daripada mana-mana pihak.

"Iyalah...ada yang tak puas hati. Sesetengah pihak akan menentang tetapi kita mahu tahu ia memberi manfaat kepada negara atau sebaliknya," katanya. - K! ONLINE