29 March 2024, Friday | 12:13am

Pelajar rayu bina segera menara telco

2020-11-18

BALING – Beberapa pelajar di Kampung Tembak B dalam Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil dekat sini merayu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ­Malaysia (SKMM) supaya mempercepatkan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan ­ter­sebut.

Rata-rata pelajar sekolah dan universiti yang ditemui ­mengeluh apabila capaian ­internet di situ terlalu lemah sehingga ­me­ngakibatkan mereka ketinggalan dalam mengikuti kelas online.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang di sini, Muhd. Nur Amirul Hassan, 17, berkata, dia tidak dapat mengikuti kelas online secara tetap kerana masalah capaian internet yang lemah.

“Saya selalu tertinggal kelas kerana capaian internet lemah dan berharap pihak SKMM dapat menyelesaikan masalah ini de­ngan segera.

“Keperluan internet sangat penting terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat apabila semua kelas diadakan secara online,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Mohammad Saiful memasang router wifi di atas pokok rambutan untuk mendapatkan capaian internet lebih baik di hadapan rumah di Kampung Tembak B, Kuala Ketil, kelmarin.

Selain itu, katanya, dia juga perlu membuat persediaan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada Februari tahun hadapan.

Seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Nur Fatihah Elleh, 18, berkata, dia bersekolah di SMK Sik terpaksa merujuk buku rujukan dan mendapatkan nota tambahan daripada rakan setiap kali terlepas kelas online.

Sementara itu, pelajar Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak, Mohammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi, 21, berkata, pegawai SKMM serta syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Berhad dan Celcom datang membuat pemeriksaan kelajuan internet di kampung itu selepas masalah tersebut disiarkan media baru-baru ini.

“SKMM memaklumkan akan membina pencawang sementara dalam tempoh terdekat ini dan saya berharap ia dapat ­dilaksana­kan secepat mungkin,” katanya.

Kosmo! pada kelmarin me­laporkan dua sahabat yang merupakan pelajar universiti terpaksa memanjat pokok rambutan se­tinggi kira-kira lapan meter bagi mendapatkan capaian internet untuk menghadiri kelas online di Kampung Tembak B di Kuala Ketil di sini.

Sumber: KOSMO

 

No votes yet