23 August 2019, Friday | 06:41pm

Pakai tudung, Fasha Sandha masih belajar

2019-07-18

 

SERI KEMBANGAN: Pelakon terkenal, Fasha Sandha, mengaku masih belum bertudung, walaupun selesa dengan penampilan sedemikian sepanjang Ramadan lalu.

Fasha berkata, dia masih belum membuat keputusan untuk kekal berhijab, malah meletakkan dirinya dalam proses pembelajaran kerana turut mempunyai keinginan berubah ke arah kebaikan.

“Ramai yang suka melihat saya bertudung pada Ramadan lalu dan mengharapkan saya kekal berhijab. Saya sangat menghargai harapan dan doa mereka.

“Buat masa ini, saya masih lagi belajar dan beri saya masa kerana banyak yang perlu diperbaiki. Secara jujur, saya bimbang untuk bercerita mengenai soal tudung kerana takut disalah erti.

“Namun, saya tetap berusaha untuk melakukan yang terbaik. Doakan saya,” kata isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu.

Ditanya mengenai pandangan suaminya mengenai perkara itu, Fasha berkata, Aidil memberinya kebebasan untuk membuat keputusan.

“Aidil tidak memaksa atau mendesak, malah dia memberikan saya kebebasan kerana tahu apa yang terbaik untuk saya. Aidil memberikan ruang untuk saya belajar dan berubah perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack, di sini.

Fasha sebelum ini, tampil berhijab selama 30 hari sepanjang Ramadan lalu bagi menyahut cabaran #hijab30.

 

Sumber: Berita Harian

Foto: Instagram Fasha Sandha

 

 

No votes yet