29 March 2024, Friday | 07:18pm

NUTP cadang sekolah rendah dibuka seawal hujung September

2020-06-11

KUALA LUMPUR- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mencadangkan pembukaan sekolah rendah di seluruh negara dibuat seawal-awalnya pada hujung September atau Oktober.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan semasa Covid-19 negara serta keputusan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bila Covid-19 sudah reda, kita harap sebelum berakhirnya bulan September atau Oktober, sekolah rendah juga dibuka bagi membolehkan para guru dan pelajar kembali ke sekolah bagi meneruskan sekolah seperti biasa," katanya dalam temu bual khas Bernama 745 di Bernama TV, semalam.

Beliau berkata walaupun sekolah tidak dibuka, guru-guru tetap bertugas menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ingin saya nyatakan bahawa guru-guru sentiasa bersedia dipanggil bertugas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memberikan ilmu kepada para pelajar.

"Ada guru yang telah membuat rakaman subjek mata pelajaran sukatan tertentu bagi membolehkan mereka memberikannya kepada pelajar setelah sekolah dibuka. Ada juga guru yang didapati menyediakan modul-modul tertentu bagi memastikan pemerolehan ilmu dalam kalangan pelajar dapat direalisasikan," katanya.

Beliau berkata NUTP yakin, guru-guru akan melipatgandakan usaha bagi memastikan ilmu yang diterima sama tarafnya walaupun sekolah ditutup selama tiga bulan. Dalam pada itu, Aminuddin turut mencadangkan penambahbaikan aspek pedagogi dan prosedur operasi standard (SOP) sistem pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah iaitu hanya empat mata pelajaran teras yang diajar manakala selebihnya diajar secara maya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan waktu persekolahan bagi sesi pagi dimulakan pada pukul 8.00 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang bermula 1.00 petang hingga 5.00 petang.

"NUTP yakin dengan kepelbagaian kemudahan dan kemahiran guru sekarang ini, guru mampu untuk merealisasikan impian itu," katanya.

Semalam Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara dibuka mulai 24 Jun ini, melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara. - BERNAMA

Sumber: Sinar Harian

 

 

No votes yet