20 November 2019, Wednesday | 01:34pm

Negara tidak boleh dianggap maju jika rakyat masih berjuang untuk hidup - Dr Mahathir

2019-10-16

 

KUALA LUMPUR: Sesebuah negara tidak boleh dianggap maju sekiranya kemudahan dan pembangunan beberapa kumpulan rakyat masih berada pada tahap tidak memuaskan.

Ia termasuk keperluan rakyat dalam mendapatkan akses kepada kemudahan asas dan pekerjaan yang memberikan pendapatan yang mencukupi.

Jelas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pengalaman membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak seiring dengan pembangunan semua golongan.

"Negara juga tidak membangun jika sesetengah penduduknya perlu berjuang setiap hari bagi mendapatkan keperluan asas untuk meneruskan hidup dan mempunyai anak-anak yang menghadapi masalah kekurangan zat makanan.

"Kekurangan dalam mencapai matlamat Pembangunan Mampan perlu ditangani segera, dan bagi mengelakkan Malaysia tergolong dalam negara-negara membangun yang aspirasinya terjejas," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Pembasmian Kemiskinan untuk Pembangunan Inklusif dan Sejahtera di Malaysia (IDEP 2019) anjuran Yayasan Sejahtera di Mercu UEM, di sini.

Dengan tajuk 'Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu', forum tersebut diadakan sempena Hari Antarabangsa Bagi Membasmi Kemiskinan yang disambut di seluruh dunia pada 17 Oktober setiap tahun.

 

 

Dalam perkembangan sama, Yayasan Sejahtera hari ini turut memperkenalkan platform Dana Pembangunan Masyarakat (CDF), yang dirasmikan Dr Mahathir.

CDF berfungsi sebagai platform secara langsung bagi sektor swasta untuk menyalurkan derma kepada projek komuniti dan bekerja rapat untuk mengurangkan kesengsaraan kemiskinan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sejahtera, Tan Sri Faizah Mohd Tahir, usaha pembasmian kemiskinan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan.

 

 

Sumber: Astro Awani

No votes yet