20 October 2019, Sunday | 02:34am

Natasha Hudson berpisah kali keempat

2019-10-08

 

KUALA LUMPUR: Status rumah tangga pelakon, Natasha Hudson yang sebelum ini mencetuskan tanda tanya terjawab apabila dia mengesahkan, perkahwinannya dengan usahawan, Nor Nashiq Sekarnor sudah berakhir.

Tanpa mendedahkan butiran mengenai perceraian itu, Natasha, 37, hanya memaklumkan, mereka bercerai talak satu, baru-baru ini.

“Saya sudah cukup kuat untuk melalui suratan yang tertulis, malah tidak pernah mengalah, meskipun ada ketika saya hampir tewas berhadapan dengan takdir.

“Saya perlu bangkit meneruskan kehidupan. Semua itu memerlukan keberanian. Mungkin ia tidak berjalan seperti yang saya harapkan, namun saya tidak mempunyai masa untuk bersedih,” katanya.

Natasha dan Noor Nashiq melangsungkan perkahwinan pada 7 Disember tahun lalu. Ia adalah perkahwinan keempat pelakon yang popular menerusi filem Chermin itu.

Status perkahwinan mereka mencetuskan persoalan, baru-baru ini apabila Natasha menerusi catatannya di Instagram, beberapa hari lalu seakan-akan memberi bayangan dirinya kembali sendiri.

Mengulas perancangan masa depannya, Natasha berkata, dia kini hanya memikirkan mengenai kebahagiaan diri dan tiga anaknya.

“Saya tidak mahu lagi diri terganggu dengan memikirkan soal mengejar kebahagiaan dalam perhubungan. Saya perlu lebih matang dalam mengenali erti cinta yang sebenar.

“Alhamdulillah, saya masih sibuk menguruskan perniagaan. Saya sentiasa positif kerana setiap kita pasti berdepan dengan ujian. Sehebat manapun ujian itu, saya terima dengan hati terbuka dan berjiwa besar.

“Saya tidak sekali-kali membiarkan diri dibelenggu kesedihan kerana apa yang penting, memandang hari depan untuk mencari sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Natasha pada Oktober lalu, membuat pengakuan sudah berpisah dengan suami ketiganya yang juga bekas penyanyi hip-hop, Carleed Khaza atau nama lengkapnya Khalid Kamal selepas hampir tujuh tahun hidup bersama.

Hasil perkahwinan yang didirikan pada 15 April 2012, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Naeema Kalila dan Faatimah.

Natasha juga dikurniakan anak perempuan, Neesa Helena menerusi perkahwinan keduanya dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007. Perkahwinan itu, bagaimanapun hanya bertahan selama dua tahun.

Sebelum itu, pada 2006, Natasha berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih, namun berpisah selepas empat bulan.

 

Sumber: Berita Harian

Average: 5 (1 vote)