23 September 2019, Monday | 09:28am

Najib sakit mata, perbicaraan 1MDB ditangguhkan

2019-09-11

 

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes '1MDB-Tanore' melibatkan Datuk Najib Razak yang sepatutnya memasuki hari ketujuh hari ini, ditangguhkan selepas peguam beliau Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bekas Perdana Menteri itu mengalami konjunktivitis.

Muhammad Shafee berkata, setakat pagi ini, Najib belum lagi pergi ke klinik mata, namun beliau menjangkakan anak guamnya akan mendapat sijil cuti sakit (MC) untuk tempoh satu hingga dua hari.

“Semalam anak guam saya pergi ke perjumpaan di luar, dan beliau terus mengalami sakit mata. Tambahan pula dengan keadaan berjerebu di luar,” katanya ketika perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Bagaimanapun, sekiranya MC itu diberi untuk tempoh dua hari, beliau memohon agar perbicaraan ditangguhkan ke Selasa depan memandangkan beliau perlu ke luar negara pada Jumaat ini.

Barisan pendakwa raya yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, mereka tiada masalah dengan permohonan berkenaan.


Collin berkata, beliau akan menangguhkan perbicaraan untuk satu hari, sebelum melihat keputusan pemeriksaan mata ke atas Najib.

 

 

Sumber: Astro Awani

No votes yet