15 December 2019, Sunday | 03:52pm

Mohammad Rifdean ke final Muay Thai Asia Timur 2019

2019-08-16

 

BANGKOK: Peninju Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor beraksi cemerlang apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, malam tadi.

Mohammad Rifdean,17, menewaskan lawannya dari Mongolia, Gantushig Tenuun menerusi knockout (KO) pada pusingan kedua dalam kategori 48 kilogram (kg) pada saingan separuh akhir.

Pemenang pingat perak Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 itu bakal berdepan peninju Hong Kong pada Ahad ini.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata Mohammad Rifdean telah mempamerkan aksi bertenaga ketika menentang lawannya yang fizikal lebih besar dan tinggi.

 

Mohammad Rifdean ke final Muay Thai Asia Timur 2019

Mohammad Rifdean bersama Bernard (depan, dua kiri) dan Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi (tiga, kanan) serta pasukan Malaysia bergambar pada Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok, Julai lalu. --foto BERNAMA/Fail

 

"Pada mulanya, persembahan Mohammad Rifdean agak gugup berikutan lawannya yang tinggi tetapi apabila masuk pusingan kedua, dia dapat mengawal perlawanan itu sehingga menyebabkan lawannya KO," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bernard berkata beliau tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan di Hong Kong berikutan Mohammad Rifdean baru pulang dari Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 di Bangkok.

Selain itu, beliau berkata Mohammad Rifdean turut sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Saya menyasar beliau akan berada pada tahap puncak ketika beraksi pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Turki bulan depan.

"Saya berharap Mohammad Rifdean akan meneruskan momentum dan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir Ahad ini," katanya.

Mohammad Rifdean terpaksa melompat ke kategori 48kg berikutan kategori 45kg tidak dipertandingkan.

-- BERNAMA

 

 

Sumber: Astro Awani

Foto: Berita Harian

No votes yet