25 May 2019, Saturday | 06:36pm

Mira Filzah nafi jadi punca Remy Ishak putus tunang

2019-05-03

 

PELAKON cantik Mira Filzah menafikan dia menjadi punca aktor tampan, Remy Ishak putus tunang pada Februari lalu.

 

Menurut Mira, dia hairan kenapa namanya dikaitkan dalam episod duka dalam kehidupan peribadi pelakon filem Pulang itu sedangkan Remy sudah pun menjelaskan punca pertunangannya kandas di pertengahan jalan.

 

"Secara peribadinya saya tidak tertekan apabila nama saya terkait dengan kes Remy dan tunangnya.

 

"Sebab jika diperhatikan di media sosial saya, tak ada pun komen berbaur provokasi atau marah-marah melainkan di akaun Remy.

"Malah, Remy pun sudah menjelaskan bagi pihak dia dan seperti mana semua sedia maklum, saya tiada kaitan dengan perkara terbabit. Kita tahu apa yang benar, jadi tak perlu pun takut," katanya kepada Gempak.

 

Mira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Creacion & Simplysity by Siti Nurhaliza di KLCC baru-baru ini.

 

Dalam masa sama, Mirza menegaskan, hubungannya dengan Remy saling tidak ubah sebagai rakan sekerja semata-mata.

 

"Kami cuma kawan sekerja, jumpa hanya di set penggambaran atau majlis hiburan. Itu sajalah ruang untuk kami bercakap, tiada sebarang komunikasi lain pun.

 

"Saya tak tahu kalau hubungan kami sebagai rakan sekerja menjadi tempias besar kepada satu sama lain tetapi saya tidak terasalah.

 

"Tiada apa yang perlu saya takut sebab saya bukan punca perpisahan mereka. Malah, saya tak rasa kekok pun untuk digandingkan semula untuk telefilem Pujaan Hati Kanda Raya," tambahnya.

 

Ikatan pertunangan antara Remy dan ahli perniagaan, Ezza Yusof berakhir pada Februari lalu.

 

Remy dan Ezza mengikat tali pertunangan pada Mei 2017 secara diam-diam.

 

Selama bergelar tunangan orang, Remy tidak pernah berkongsi sebarang cerita mengenai bakal isterinya dengan wartawan sehinggalah statusnya menjadi tanda tanya apabila dia membuat pengakuan kembali solo di laman sosialnya.

 

Sumber:AstroAwani/http://bit.ly/2DKVL6e

 

No votes yet

Tags: