29 March 2024, Friday | 10:40pm

Md Silmi dilantik Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU

2020-01-16

KUALA LUMPUR: Serentak dengan pengumuman pelantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) turut melantik Md Silmi Abd Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelantikan Mustapa dan Md Silmi direstui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dengan kepimpinan baharu ini, saya yakin dengan usaha berterusan dilaksanakan TERAJU akan meningkatkan daya saing Bumiputera sekali gus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Ini bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, saya yakin gandingan ini akan dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmin berkata, selain daripada sudut ekonomi, TERAJU mempunyai peranan besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.

Mustapa yang mesra disapa Tok Pa, berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan, malah pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tempoh 2009 hingga 2018.

Beliau turut menyandang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2009), Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan 2 (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).

Md Silmi pula adalah pakar pembangunan industri dan perdagangan di dalam dan luar negara dengan pengalaman lebih 30 tahun.

“Beliau mempunyai rekod pencapaian cemerlang menerokai peluang baharu dalam industri berteknologi tinggi dan juga berperanan penting dalam pembangunan keusahawanan Bumiputera.

“Beliau juga antara pasukan perintis bagi penubuhan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) (1993-2017) dan pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1989-1993) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (1983-1989),” katanya.

Sumber: BH Online

 

No votes yet