22 August 2019, Thursday | 10:55pm

MASCA tetap puas hati keputusan di Perancis

2019-05-16

KUALA LUMPUR - Skuad kanu polo negara menganggap pencapaian ke-14 daripada 15 pasukan terbaik dunia pada Kejohanan Antarabangsa Pas De Calais di Perancis baru-baru ini sebagai sesuatu yang positif.

 

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, walaupun menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot, namun banyak perkara yang dipelajari oleh lapan barisan pendayung negara dalam kejohanan itu.

 

Menurut Megat D. Shahriman, pencapaian itu dianggap cukup bagus memandangkan pasukan negara kali ini diwakili majoriti atlet di bawah usia 21

tahun selain status kanu polo yang masih baharu bertapak di Malaysia.

 

"Sukan ini mungkin belum mendapat tempat di Malaysia tetapi di Eropah ia menjadi antara sukan yang digemari peminat sana.

 

"Jadi apabila mendapat tempat kedua terakhir daripada 15 negara yang merupakan kuasa besar kanu polo dunia ia membawa makna yang amat besar kepada kami.

 

"Pasukan baharu selalunya akan menjadi 'lauk' tetapi sebaliknya buat kami yang mendapat pendedahan dan pengalaman beraksi di Eropah yang saya anggap tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya.

 

Sementara itu, Megat D. Shahriman menjelaskan, meskipun sukan kanu polo tidak dipertandingkan di Sukan SEA Filipina 2019, namun ia tetap penting untuk memberi pendedahan kepada atletnya kerana ia adalah salah satu acara utama pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

 

"Selepas ini, mereka akan bertanding dalam dua kejuaraan termasuk Kejohanan Kanu Polo Asia 2019 dan kejohanan terbuka di Pattaya, Thailand pada hujung tahun ini," jelasnya. - K! ONLINE

 

Sumber;Kosmo/http://bit.ly/2w222Go

 

No votes yet