23 September 2019, Monday | 09:35am

Maria, Serena kali pertama berentap Terbuka AS

2019-08-23

 

SERENA Williams dan Maria Sharapova bakal bertemu buat kali pertama di Flushing Meadows apabila kedua-duanya diundi berentap pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat.

Perlawanan itu yang ke-22 di antara dua musuh lama tetapi tidak pernah bertemu di Terbuka AS sepanjang karier mereka.

Dua belas bulan selepas ditewaskan Naomi Osaka, Serena Williams mahu menunjukkan dia masih berkeupayaan memburu gelaran Grand Slam ke-24 dan pemain veteran AS berusia 37 tahun itu yakin melepasi halangan Maria berdasarkan rekod kemenangan 19-2 ke atas bekas juara lima kali Grand Slam itu yang bukan pemain pilihan.

Serena memenangi Terbuka AS sebanyak enam kali manakala Maria hanya sekali pada 2006.

Kali terakhir Maria menewaskan Serena pada 2004 dan tidak pernah menang selepas itu. Hanya pada Terbuka Perancis 2018, Serena terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
 
Jika Serena, pilihan kelapan menewaskan Maria dan pencabar lain selepas itu, menunggunya di final ialah pilihan utama Naomi berdasarkan undian yang dijalankan awal pagi tadi.
 
Serena tidak beraksi sejak mengalami kecederaan belakang pada final Piala Rogers di Toronto pada 11 Ogos lalu.
 
Maria di ranking ke-97 turut bergelut dengan kecederaan tahun ini dan tewas kepada Ash Barty pada pusingan kedua Masters Cincinnati minggu lalu.

 

 

Sumber: Harian Metro

Foto: hellomagazine.com

No votes yet