20 October 2019, Sunday | 02:31am

Malaysia punya potensi hab kargo serantau

2019-10-10

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi untuk menjadi pusat kargo udara bagi pasaran serantau, sekaligus meningkatkan lagi pelaburan asing ke pasaran tempatan.

Ketua Pengarah Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik, Andrew Herdman, berkata Malaysia boleh menjadi pemain utama dalam perniagaan kargo udara jika mempunyai jalinan sambungan udara yang baik.

Beliau berkata, ketika ini perniagaan kargo global mencatatkan nilai pada AS$6 trilion dan 35 peratus daripadanya adalah dari pasaran kargo syarikat penerbangan ASEAN.

“Walaupun perniagaan kargo agak sukar berbanding perniagaan penumpang tetapi ia memberikan nilai pasaran yang baik terutamanya kepada Malaysia.

 “Nilai perniagaan kargo ini juga dijangka meningkat dua kali ganda dalam beberapa tahun akan datang dan sudah tentu Malaysia perlu mengambil peluang daripada perkara ini.

“Ini kerana Malaysia adalah peserta utama rangkaian bekalan global,” katanya selepas forum NST Insight - Malaysia As a Preferred Aviation Hub - Are We There Yet? di Balai Berita, di sini, hari ini.

Forum NST Insight itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Herdman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin.

Sementara itu, Azman berkata, bagi menjadi pusat kargo udara, negara memerlukan jalinan sambungan udara antara negara yang berpotensi.

Katanya, jika mempunyai jalinan udara yang baik, ia mampu menarik lebih banyak pelabur asing datang ke Malaysia dan menjalankan perniagaan mereka di sini.

Beliau berkata, kerajaan sendiri mempunyai tiga pelan strategik iaitu logistik, aeroangkasa dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

 “Tiga pelan ini menunjukkan peningkatan yang baik dengan pengeluaran dan eksport industri ini bernilai RM40 bilion manakala MRO sebanyak RM6 bilion.

“Negara boleh menjadi hab logistik untuk kargo udara dan menjadikan negara sebagai hab rangkaian bekalan global. Ia bakal melonjakkan lagi pelaburan di Malaysia.

“Ia boleh menarik lebih banyak syarikat global membangunkan infrastruktur perniagaan mereka di Malaysia terutamanya dalam pembuatan,” katanya.

Bagi Raja Azmi pula, MAHB menyedari kepentingan jalinan sambungan udara dan pihaknya kini sedang menuju ke arah itu, namun tidak dapat memberikan tempoh waktu yang tepat pelaksanaannya.

Beliau berkata, ketika ini sambungan udara di Malaysia masih lagi pada kadar 20 peratus, bagi perniagaan penumpang dan kargo, jumlah itu masih lagi rendah berbanding beberapa negara lain.

“Kemudahan ini mampu menjimatkan masa dan memberikan lebih banyak kemudahan kepada penumpang dan kargo. Ia satu potensi besar kepada negara.

“Namun bagi menjalankan perkara ini, MAHB perlu mendapatkan persetujuan syarikat penerbangan. Kita akan ada banyak peluang bila ada kemudahan sebegini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Average: 5 (1 vote)