20 November 2019, Wednesday | 01:33pm

Malaysia hampir bankrap sebab 1MDB - Dr Mahathir

2019-10-21

 

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, hampir suatu keajaiban Malaysia tidak bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi.

Perdana Menteri berkata, kerosakan berkenaan bukan sahaja berkaitan kewangan tetapi juga keinstitusian.

“Salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’, di sini.

Dr Mahathir berkata, ia akan mengambil banyak usaha, masa dan kewangan, sambil menambah “apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya”.

“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) satu monstrositi, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya, kerosakan yang disebabkannya kepada negara,” katanya.

Melebihi rasuah dan tipu helah kewangan, Perdana Menteri berkata, seluruh jentera kerajaan telah disubversif dan dilemahkan.

Katanya, sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk operasi dan pembangunan.

“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,” katanya.

Katanya, bagi memulih dan membangunkan negara, jentera kerajaan perlu dipulihkan dan efisien.

“Ini bermakna sifar rasuah, jika boleh. Semua usaha telah dilakukan untuk mencapainya. Mungkin kami telah mencapai beberapa kejayaan kerana pertumbuhan telah dikekalkan,” katanya.

Beliau menyatakan beberapa sasaran dalam Wawasan 2020 yang dibuat pada 1991 oleh kerajaan diketuainya sebelum ini, dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 tidak akan tercapai tahun hadapan selepas tergelincir disebabkan pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Sebahagian daripada sasaran itu tidak ditinggalkan dan ia digabungkan ke dalam pelan tindakan Wawasan Kemakmuran Bersama dan apa yang tidak dicapai tahun hadapan, diharapkan dapat dicapai pada 2030 dan seterusnya, katanya.

ketika negara menetapkan untuk meningkatkan pendapatan kesemua kumpulan, etnik, penduduk bandar, luar bandar atau negeri, ia juga perlu meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.

“Faktor yang paling penting ialah untuk menyediakan taraf hidup yang baik kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap untuk mengembalikan status kita sebagai Harimau Asia,” katanya. - BERNAMA

 

 

Sumber: Berita Harian

No votes yet