29 March 2024, Friday | 05:23pm

Malaysia Airlines bawa wira negara sertai misi pengaman di Lubnan

2020-10-30

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia Airlines menerusi penerbangan MH8496 berlepas  dari Pangkalan Udara Subang hari ini dengan membawa kumpulan ketiga pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850-8 menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Menurut kenyataan Malaysia Airlines, kumpulan itu terdiri daripada 215 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Komander Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral (TUDM) Datuk Yazid Arshad.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata syarikat penerbangan nasional itu berbangga dapat membawa barisan pegawai serta anggota pasukan Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan bagi menyertai misi kemanusiaan di Lubnan untuk tahun kedua berturut-turut.

“Penerbangan hari ini adalah ketiga daripada empat misi dan menggunakan pesawat Airbus 330-200 yang dikendalikan oleh tiga juruterbang dan 10 anak kapal bagi setiap penerbangan.

“Kami juga sentiasa mendoakan keselamatan semua wira-wira negara yang tetap melaksanakan misi kritikal ini walaupun dalam keadaan penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Kumpulan seterusnya bagi Malbatt 850-8 dijadual berlepas ke Lubnan pada 15 Nov, 2020.

Sumber: BERNAMA

 

 

No votes yet