13 August 2020, Thursday | 11:13am

MAHB lepasi sasaran perkhidmatan Rangka Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang

2018-11-08

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melepasi sasaran perkhidmatan ditetapkan Rangka Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang yang dilancarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada September lepas, dengan tahap cemerlang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) mencatatkan prestasi cemerlang untuk melepasi tahap keputusan pada bulan pertama dan pasukan itu berikrar untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik demi manfaat penumpang.

“Rangka QoS Lapangan Terbang itu turut membantu mengekalkan prestasi baik perkhidmatan lapangan terbang kami. Kami telah mengambil tindakan segera terhadap maklum balas pihak berkepentingan kerana mereka amat penting bagi kami dalam usaha untuk memberikan tahap perkhidmatan yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Fasa pertama rangka itu dilaksanakan di KUL, yang mengukur elemen kualiti perkhidmatan, merangkumi kebersihan tandas penumpang, keadaan tandas staf dan keupayaan Ramp Wi-Fi di kedua-dua terminal iaitu KLIA dan klia2.

Katanya bagi bulan September, apabila rangka QoS Lapangan Terbang itu mula dilaksanakan, KUL mencapai tahap 98 peratus yang melepasi tahap 90 peratus seperti disasarkan untuk elemen kualiti perkhidmatan bagi kebersihan tandas penumpang.

Bagi keadaan tandas staf, Raja Azmi berkata KUL mencatatkan purata 94.5 peratus, mengatasi tahap 80 peratus yang disasarkan.

“Elemen kualiti bagi perkhidmatan lain adalah Ramp Wi-Fi dengan di kedua-dua terminal di KUL mencapai tahap lulus,” katanya.

Rangka QoS Lapangan Terbang bertujuan untuk membimbing lapangan terbang beroperasi dengan efisien dan menyediakan pengalaman terbaik kepada penumpang dan komuniti lapangan terbang.

Pemeriksaan bulanan itu yang dilakukan oleh MAVCOM, menilai kualiti perkhidmatan di lapangan terbang dan memastikan kemudahan penting seperti tandas, memenuhi syarat dan garis panduan ditetapkan agensi itu.

Raja Azmi berkata lebih banyak elemen kualiti telah dilaksanakan sejak bulan lepas dan senarai itu termasuk perkhidmatan Aerotrain, lif, eskalator, walkalator, aerobridge dan operator aerobridge, serta perkhidmatan disediakan ‘Visual Docking Guidance System’. — Bernama

Average: 5 (1 vote)

Tags: