20 July 2019, Saturday | 06:00am

Liverpool tidak akan tunduk kepada tekanan

2019-04-22

LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui mereka langsung tidak berasa tertekan walaupun jutaan penyokong The Reds menaruh harapan penuh untuk melihat skuad kesayangan mereka itu menamatkan badi tanpa trofi sejak 1990.

Menurut Klopp, skuadnya sedang ‘menikmati’ setiap cabaran yang mungkin bakal menghadiahkan kejayaan dua trofi pada musim ini selepas masih bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara serta Liga Perdana England.

“Kami langsung tidak berasa tertekan, sebaliknya kami hanya merasakan bahawa kini mendapat peluang yang cukup baik untuk meraih bukan hanya satu, malah dua trofi. Perlumbaan untuk merebut trofi liga serta saingan di peringkat separuh akhir adalah cabaran yang cukup besar bagi kami dan kami mahu menyahut cabaran itu tanpa rasa gentar.

“Ia juga satu petanda positif apabila kami berpeluang meraih dua trofi. Ia adalah tanda-tanda kepada kejayaan Liverpool pada masa hadapan.

“Ketika ini, kami sedang memperbetulkan segala kelemahan pemain di atas padang. Kami telah menunjukkan mutu permainan bola sepak sebenar sejak aksi pertama liga musim ini dan ia berpanjangan sehingga hari ini. Tanpa ragu-ragu, saya boleh mengakui bahawa Li-verpool adalah pasukan yang sukar ditewaskan,” ujar Klopp.

Dalam saingan liga, Liverpool masih berada di kedudukan pertama menerusi 85 mata manakala Manchester City yang kurang satu perlawanan mengekori rapat dari belakang dengan perbezaan dua mata.

Skuad The Reds dijadual bertemu dengan Barcelona pada perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara pada awal Mei depan.

Dalam pada itu, bekas pengendali Borussia Dortmund berkenaan turut mengakui akan tetap berpuas hati dengan pencapaian Liverpool walaupun mereka masih gagal meraih sebarang trofi musim ini. – Agensi.

 

Average: 4 (1 vote)