24 January 2020, Friday | 09:22am

Lebih 140,000 penduduk dunia maut akibat wabak campak - WHO

2019-12-06

 

WASHINGTON : Lebih daripada 140,000 orang maut akibat jangkitan wabak campak di seluruh dunia pada 2018, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam, akibat pemberian vaksin peringkat global yang tidak menunjukkan sebarang perkembangan selama hampir sedekad.

Negara miskin adalah antara yang paling teruk terjejas, dengan majoriti kes dan kematian berlaku di negara sub Sahara Afrika.

Negara kaya bagaimanapun turut berdepan masalah itu, khususnya empat negara Eropah yang kehilangan status ‘pupus campak’ tahun lalu.

Pengumuman berkenaan dibuat serentak dengan pendekatan kecemasan oleh kerajaan Samoa menghalang penduduk meninggalkan negara itu, bagi membolehkan mereka melaksanakan pemberian vaksin pada skala besar untuk memerangi wabak campak yang sehingga kini meragut 62 nyawa.

Ketua Pengarah WHO, Tetdros Adhanom Gheybreysus berkata, hakikat bahawa kanak-kanak meninggal dunia akibat campak, yang sebenarnya boleh dicegah menerusi pengambilan vaksin amat menyedihkan.

“Ia lambang kegagalan kita untuk melindungi golongan paling lemah di dunia ini.

“Demi menyelamatkan nyawa, kita perlu pastikan semua individu mendapat faedah daripada vaksin, sekali gus bermakna, melabur dalam pemberian vaksin dan penjagaan kesihatan berkualiti iaitu hak setiap penduduk di bumi,” katanya.

Sebahagian besar kematian itu membabitkan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

Bayi dan kanak-kanak adalah golongan paling berisiko untuk dijangkiti wabak ini yang membawa kepada pelbagai komplikasi, termasuk bengkak di bahagian otak dan pneumonia sehingga menyebabkan kecacatan kekal, buta atau rosak pendengaran.

Kira-kira 142,300 individu meninggal dunia akibat penyakit berkenaan sepanjang tahun lalu, iaitu suku daripada jumlah kematian pada 2000, namun mencatatkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 2017.

Jumlah keseluruhan kes campak yang direkodkan di seluruh dunia adalah 9.7 juta. - AFP

 

 

 

Sumber: Berita Harian

Foto: investing.com

No votes yet