Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab yang mengakui pengiktirafan daripada UCI itu merupakan satu kejayaan besar buat Malaysia.

“Selepas mengadakan perbincangan di belakang tabir dengan UCI dan membuat permohonan, mereka akhirnya bersetuju untuk meletakkan status LTdL ke siri profesional dan surat rasmi tentang perkara itu sudah dihantar kepada kami pada 5 Oktober lalu.

“Saya rasa ini satu kejayaan buat Malaysia. Tentang syarat-syarat yang diperlukan pula sudah tentu ia lebih besar berbanding sebelum ini. Jadi pe­nganjur (Human Voyage Sdn. Bhd.) perlu bersedia memenuhi segala tuntutan yang perlukan.

“Kita juga telah dapat restu daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk melangsungkan LTdL tahun depan. Walaupun ia dijangka menelan kos lebih tinggi, saya rasa pihak kerajaan akan mengekalkan geran yang diberikan.

“Jadi, tambahan kos tersebut perlu dicari oleh penganjur kejohanan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk LTdL 2020 di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Antara syarat yang perlu dipatuhi untuk menganjurkan perlumbaan berstatus siri profesional tersebut ialah memerlukan penyertaan sekurang-kurang enam pasukan Jelajah Dunia.

Mengikut jadual daripada UCI, LTdL 2020 akan berlangsung pada 6 hingga 15 Februari tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa yakin mereka mampu menganjurkan perlumbaan itu mengikut tahap yang dikehendaki UCI.

“Tahun depan adalah ulang tahun ke-25 LTdL dan kita akan memberikan yang terbaik. Jadi, kita rancang untuk menganjurkan 10 peringkat perlumbaan termasuk saingan di Sabah dan Sarawak.

“Kami sangat yakin bahawa kami mampu membawa masuk 10 pasukan Jelajah Dunia. Kami juga dalam perancangan untuk menggunakan khidmat Euro Sport serta Fox Asia untuk penayangan siaran langsung ke negara Asia dan Eropah,” katanya.

 

 

 

Sumber: Kosmo! Online

Foto: Astro Awani