20 September 2020, Sunday | 12:03am

Koronavirus: TPM minta rakyat tidak sebar berita palsu

2020-02-03

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta rakyat agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di beberapa negara termasuk Malaysia.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu boleh menimbulkan suasana panik dan akan lebih memburukkan keadaan.

"Saya juga nak kongsi di sini bahawa saya telah pergi melawat petugas barisan hadapan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), KLIA2, Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat. Kita terhutang budi kepada mereka kerana ambil risiko yang tinggi.

"Jadi janganlah keluarkan berita dan perkara tidak betul. Sama-samalah kita bantu tangani masalah ini kerana kita bukan boleh berseorangan menghadapi wabak ini," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf) di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata kerajaan telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam memastikan setiap langkah yang diambil adalah mengikut Arahan Majlis Keselamatan Negara dan maklumat terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Kementerian Kesihatan.

"Kabinet juga telah melaksanakan beberapa strategi dengan menyekat kemasukan pelancong dan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan di samping menggerakkan institusi kesihatan negara untuk melakukan yang terbaik dalam menyekat penyebaran wabak ini," katanya.

Sehubungan itu Dr Wan Azizah yang juga Penaung Insaf berkata kerajaan mengalu-alukan sebarang usaha daripada mana-mana badan sukarelawan untuk menyampaikan maklumat secara proaktif kepada masyarakat dalam usaha menangani wabak itu.

Jelasnya, ekosistem bantuan kemanusiaan di Malaysia perlu melibatkan pelbagai pihak pemegang taruh bagi menambah keberkesanan bantuan, termasuk badan berkanun, syarikat korporat, badan politik serta media massa.

"Kita tidak mungkin mampu untuk mendepani pelbagai bencana dan masalah secara menyeluruh dengan hanya mengharapkan bantuan dan tindakan daripada badan-badan tertentu.

"Sebaliknya perlu menggembleng seluruh kekuatan dan kepakaran semua pihak bagi memastikan kelicinan bantuan yang sepatutnya diterima mangsa dapat disampaikan dengan pantas dan selamat," katanya.

Insaf merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang menjalankan aktiviti bantuan kemanusiaan kepada golongan yang kurang bernasib baik akibat bencana alam dan kemiskinan di dalam dan luar negara.

-- BERNAMA

 

 

 

Sumber: Astro AWANI

Foto: The Straits Times

No votes yet