22 February 2020, Saturday | 01:09pm

KKM tetapkan sasaran 15 peratus garam dalam makanan

2020-02-14

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan sasaran 15 peratus pengurangan kandungan garam dalam makanan dalam kalangan rakyat di negara ini pada tahun 2020.

Ia bagi mengawal penyakit tidak berjangkit hipertensi yang membawa kepada penyakit darah tinggi, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chai (gambar).

Menurutnya, kerjasama pemain industri makanan, pengeluar dan penyedia makanan mempunyai tanggungjawab utama dalam membantu kementerian mencapai sasaran itu.

Sambil mengakui dengan tabiat makan rakyat yang sentiasa mengharapkan kelazatan yang sempurna baik gula dan garam, beliau optimis disiplin dan kerjasama pengguna mengawal nafsu pengambilan dalam pemakanan harian mampu membantu kementerian mencapai sasaran tersebut.

“Penyakit hipertensi masih merupakan penyakit yang perlu diberi perhatian serius untuk dikawal kerana ramai rakyat yang datang menerima rawatan tidak sedar mereka mempunyai hipertensi sekaligus membawa kepada penyakit darah tinggi di luar kawalan diri mereka secara senyap dalam badan.

“Kita juga menekankan kalau boleh mengurangkan pengambilan garam dalam makanan mereka yang boleh mengawal darah tiggi dan mesej ini agak penting kerana bukan sahaja gula, garam juga wajib sangat untuk dikurangkan.

“Populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas menyumbang 30.3 peratus atau 6.1 juta menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak sedar akan mereka mempunyai tekanan darah tinggi yang sangat berkaitan dengan hipertensi sekaligus membawa kepada penyakit jantung, strok, kegagalan ginjal,” katanya selepas merasmikan Kongres Saintifik Ke-17 2020 Persatuan Hipertensi Malaysia di sini hari ini.

 

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye memeriksa tekanan darah sewaktu melawat pameran pada Majlis Perasmian Kongres Saintifik ke-17 Persatuan Hipertensi Malaysia pada di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 FEBRUARI 2020.

 

Tambah Boon Chai, pihaknya bagi mengawal keadaan itu dengan menetapkan sasaran lima tahun Strategi Pengurangan Garam 2015-2020 dan akan diteruskan pada tahun akan datang.

Menurutnya, strategi utama adalah antaranya kerjasama dengan penyelidik untuk memantau perkembangan dan pembentukan sumber pengurangan garam yang spesifik, program advokasi pemilihan logo pemakanan sihat dan penstrukturan semula insentif makanan

Dalam perkara berkaitan, Ahli Parlimen Gopeng itu percaya kerjasama agensi kerajaan dan swasta menerusi penganjuran program kesedaran mengenai hipertensi mampu mendidik rakyat untuk mengawal pengambilan garam dalam makanan harian.

“Pemain industri makanan sama dan pengeluar makanan mahupun kedai-kedai makanan boleh memastikan kandungan garam dan ia bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi komitmen itu perlu ada.

“Kita galakkan restoran boleh buat angggaran daripada segi kalori kandungan kolesterol garam dan sebagainya..bila (pengguna) makan di restoran minta jangan tambah garam (kurangkan kandungan),” ujarnya.

Ditanya mengenai tahap hipertensi dalam kalangan penjawat awam atau swasta ketika ini, beliau tanpa memperincikan kepada golongan tersebut berkata, kementerian memberi fokus kepada rakyat ecara umum untuk mendidik mereka mengurangkan garam dan gula dalam makanan harian selain meningkatkan kekerapan senaman, dilarang merokok selain tidak mengambil arak.

“Bagaimanapun kesedaran serta kawalan mengenai hipertensi yang dianggap pembunuh senyap ini sangat rendah dalam kalangan rakyat kita iaitu antara 36 hingga 41 peratus pada 10 tahun terakhir ini dan mereka perlu sentiasa menyemak bacaan darah tinggi mereka.

“Bagaimanapun Kajian Mobiliti dan Mortaliti Kesihatan Kebangsaan antara 2006 hingga 2015 menunjukkan kawalan hipertensi masih berada dibawah paras 40 peratus walaupun 80 peratus daripada angka itu sedang menerima rawatan.

 

 

 

Sumber: MalaysiaGazette

Foto: News Straits Times

No votes yet