21 November 2019, Thursday | 10:00am

Khairy Komited Wakil Pasukan Polo Negara Di Temasya KL 2017

2017-07-10

KUALA LUMPUR 9 Jul. - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah memberikan komitmen tinggi kepada program persediaan dan berhak dipilih menyertai pasukan ekuestrian polo negara ke Sukan SEA Ke-29, Kuala Lumpur 2017, bulan depan.

Pengurus pasukan polo negara, Datuk Mohamed Zekri Ibrahim berkata, beliau juga telah meminta layanan sama rata diberikan kepadanya sebagai pemain tanpa sebarang keistimewaan malah mahukan pasukan sentiasa diberikan keutamaan.
“Satu penghormatan kepada kami apabila mendapat seorang menteri kabinet dalam pasukan polo negara yang akan mempertahankan pingat emas Sukan SEA sejak kali terakhir dipertandingkan di Korat 2007.

“Beliau juga telah tegaskan kesanggupannya untuk mengikut jadual persediaan pasukan sejak tahun lalu lagi. Saya percaya pasukan kita kini ada pemain yang berbakat dan kehebatan tersendiri.

“Thailand pencabar terkuat kita kerana menjalani latihan pesat di luar negara dan dikatakan diperkuatkan dua anak lelaki pemilik kelab bola sepak Liga Perdana England, Leicester City,” katanya selepas majlis undian sukan berpasukan Sukan SEA di sini semalam.

Kata Zekri, Khairy menceburi sukan polo sejak sebelum bergelar menteri lagi manakala kebanyakan pemain lain mempunyai handicap 3, sekali gus menjadikan Malaysia antara tiga terbaik di Asia di belakang Pakistan dan India.

“Handicap polo bermula dengan 2. Yang terbaik di dunia pastinya Argentina dengan ramai pemainnya mempunyai handicap 10 dan kita juga mendapat bim­bingan jurulatih negara itu dan coursemaster (penjagaan kuda), Frederico Bachmann.

“Dalam polo, kuda memainkan peranan penting dalam prestasi pasukan atau 70 dan 80 peratus banyak bergantung kepadanya,” kata Zekri yang juga Bendahari Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA).

Antara persiapan pasukan, katanya, ialah mengadakan latihan di Pattaya, Thailand dan perlawanan ujian dengan Hong Kong serta menyertai beberapa pertandingan manakala latihan fasa tiga Program Kita Juara diadakan di Kelab Polo Diraja Pekan, Pahang.

Mengenai ketiadaan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam pasukan polo Sukan SEA, katanya, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu banyak terikat dan terlalu sibuk dengan tugas­nya yang juga Pre­siden Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

 

Sumber: Utusan/http://bit.ly/2sFbWu1

No votes yet