23 January 2020, Thursday | 02:55pm

Kerajaan siap sedia pindahkan rakyat Malaysia di Iran, Iraq

2020-01-09

 

PUCHONG: Kerajaan bersiap sedia memindahkan 220 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Iraq susulan ketegangan yang tercetus di Asia Barat.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin bersama pelbagai agensi bagi membincang dan menilai perkara berkaitan konflik di negara itu.

Beliau berkata antara agensi terbabit ialah Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia.

“Kami membuat persiapan sekiranya perlu diadakan pemindahan...pada masa ini, kita ada 58 rakyat Malaysia yang berada di Iran yang separuh daripada mereka adalah pelajar.

“Seramai 162 orang lagi di Iraq, majoritinya adalah kakitangan Petronas dan beberapa orang pensyarah,” katanya.

Saifuddin berkata kementeriannya juga sudah mengarahkan kedutaan yang berhampiran dengan negara konflik berkenaan untuk bersiap sedia sekiranya perlu mengadakan proses pemindahan.

“Sesiapa yang berada di sana harus sentiasa berhubung dengan kedutaan,” katanya sambil menasihatkan rakyat di negara ini menangguhkan rancangan sekiranya mahu melawat negara terbabit.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat lalu. - BERNAMA

 

Sumber: Berita Harian 

No votes yet