12 August 2020, Wednesday | 07:48pm

Kenaikan pangkat kastam melalui lima tapisan

2019-12-06

 

KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) perlu melalui lima tapisan yang dinilai dan diputuskan Lembaga Kenaikan Pangkat jabatan itu tanpa sebarang campur tangan Ketua Pengarah.

Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM), Abdul Malik Mohamed Zin, berkata justeru dakwaan pihak tertentu yang ditularkan di media sosial berhubung sikap pilih kasih dan tidak profesional Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim adalah tidak benar dan dianggap berniat jahat.

Katanya, dua kriteria utama kenaikan pangkat adalah mengikut senioriti dan lokaliti iaitu siapa lebih lama berkhidmat dan keperluan kepakarannya mengikut negeri.

“Pada 25 November lalu, hanya 12 pegawai dari Sabah dinaikkan pangkat manakala 73 lagi pegawai dari Sarawak.

“Kenaikan ini adalah berdasarkan keputusan lima tapisan iaitu integriti jabatan, lulus tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sudah mengisytiharkan harta, berprestasi tinggi dan sokongan Ketua Jabatan.

“Ketua Pengarah hanya meluluskan senarai yang sudah diputuskan lembaga berkenaan,” katanya kepada BH di ibu pejabat NSTP, di sini.

Beliau mengulas laporan portal berita yang menyiarkan dakwaan sumber kerajaan negeri Sabah mengenai sikap pilih kasih dan tidak profesional Paddy dalam isu kenaikan pangkat.

Kenyataan itu turut mendakwa memiliki senarai pertukaran dan nama 85 individu yang semuanya dari Sabah dan Sarawak tetapi kebanyakannya ditukarkan ke pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia seperti zon tengah, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak.

 

Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin (kiri) dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim. - Foto NSTP

 

Mengulas lanjut dakwaan itu, Abdul Malik berkata, pihaknya yang mewakili 4,000 ahli terpanggil untuk menjelaskan isu itu kerana menyifatkan ia berat sebelah dan tidak benar sehingga menjejaskan kredibiliti Paddy.

Di bawah kepemimpinan Paddy, katanya, isu berhubung integriti semakin berkurangan kerana beliau mengambil pendekatan berhemah seperti dalam satu keluarga besar.

“Banyak rampasan dadah terbesar, rokok dan arak serta lain-lain barang yang berbahaya diseludup masuk berjaya ditumpaskan.

“Malah, Kastam dengan menggunakan formulanya turut mencatatkan perolehan pendapatan cukai negara lebih banyak berbanding kepemimpinan terdahulu.

“Beliau memiliki kepakaran dalam penguatkuasaan dan cukai dalam negeri, malah melepasi piawaian ditetapkan Kementerian Kewangan,” katanya.

 

 

 

Sumber: Berita Harian

No votes yet