13 August 2020, Thursday | 10:06am

Kemeriahan Tahun Baharu Cina di KLIA

2019-02-01

Raja Azmi Raja Nazuddin (belakang, kiri) ketika majlis perasmian Tahun Baharu Cina MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini. - UTUSAN ONLINE/SOFIAN BAHAROM

SEPANG 31 Jan. - Orang ramai yang mengunjungi lapangan-lapangan terbang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, di sini akan berpeluang merasai kemeriahan perayaan Tahun Baharu Cina.

Menerusi beberapa inisiatif dijalankan MAHB, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, para pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan sambutan perayaan tersebut di kedua KLIA dan KLIA2.

Menurutnya, keunikan itu merangkumi penganjuran pelbagai program termasuk persembahan tarian singa, pertunjukan peralatan muzik serta perhiasan perayaan yang menarik serta signifikan dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

"Setiap perayaan akan mewujudkan pengalaman berharga ketika di lapangan terbang. Kita dapat menyaksikan keriangan dan kegembiraan penumpang ketika menunggu penerbangan sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

"Sehubungan itu, kita mahu terus menyediakan aktiviti-aktiviti bermakna sempena musim perayaan termasuk persembahan tarian singa dan bengkel mengukir kertas untuk kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan limau mandarin kepada pengunjung di KLIA hari ini.

Selain itu jelasnya, terdapat pelbagai peraduan yang dianjurkan MAHB bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang menawarkan hadiah-hadiah menarik termasuk beg edisi terhad serta telefon pintar Huawei Mate 20,

"Pelanggan yang berbelanja minimum sebanyak RM288 di permis makanan dan minuman lapangan-lapangan terbang antarabangsa kita juga akan diberikan sampul duit edisi terhad, bagi pemegang kad Unionpay.

"Dalam pada itu, pepanggan yang berbelanja minimum RM1,688 menggunakan kad Unionpay atau RM1,888 melalui perkhidmatan bayaran lain dalam satu resit di KLIA juga akan mendapat hadiah premium Royal Selangor serta sambul duit," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melawat laman web MAHB di www.malaysiaairports.com.my. - UTUSAN ONLINE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Average: 5 (1 vote)