7 July 2020, Tuesday | 04:27am

'Kami cuba betulkan perhubungan tapi ...' - Sharnaaz Ahmad

2020-01-28

 

PELAKON Sharnaaz Ahmad menafikan dakwaan kononnya dia tidak cuba menyelamatkan rumah tangga yang dibina bersama isteri, Noor Nabila Mohd Noor.

Terdahulu, Nabila menyatakan dia tidak nampak usaha Sharnaaz untuk memulihkan hubungan mereka.

"Usaha untuk berbaik sangat subjektif. Apabila terjadi sebegini kita buat benda baik pun takkan nampak. 

"Sebenarnya usaha itu ada. Daripada pihak saya, begitu juga dengan dia. Masing-masing cuba betulkan perhubungan tapi entahlah.

"Kalau tiada usaha, macam mana saya boleh sambut Aidilfitri bersama.

"Alih-alih pada bulan Ogos, iaitu pada hari kelahiran saya dan Jebat, saya menerima surat permohonan cerai dari Nabila.

"Ketika itu, menitik juga air mata dan apa yang saya fikirkan hanyalah anak, Jebat Jayden Ahmad.

"Keadaan yang sudah jadi baik bertukar sebaliknya dan saya sangat terkejut,” katanya kepada Gempak.

 

'Kami cuba betulkan perhubungan tapi  ...' - Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz dan Nabila bernikah pada 31 Mac 2017 di Hotel Royale Chulan, Damansara, Selangor. - Foto Astro GEMPAK

 

Sharnaaz ditemui di lokasi penggambaran filem Polis Evo 3 di Jalan Ampang.

Tambah pelakon filem Polis Evo 3 itu lagi, Sharnaaz mendedahkan kemelut yang terjadi bukanlah berpunca daripada kesalahan besar.

"Saya hormat apa yang berlaku hari ini tapi bukan disebabkan saya.

"Mungkin ada kesalahan tapi ia hanyalah masalah kecil yang boleh dimaafkan.

"Biasalah, saya baru kali pertama menjadi bapa. Mungkin ada salah tapi saya perbaiki dan tidak mengulanginya lagi. 

"Namun, jika kesalahan lama diungkit berkali-kali, itu tidak adil," katanya lagi.

Pada 6 November 2019, mahkamah memerintah melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) berhubung kes perceraian pasangan tersebut selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik.
 
Menerusi proses terbabit, mahkamah mempunyai kuasa melantik dari kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.
 
Pihak Sharnaaz melantik salah seorang rakan baiknya, manakala Nabila memilih bapa tirinya menjadi hakam.
 
Namun begitu, keputusan laporan hakam yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sebentar tadi gagal menemui kesepakatan untuk mencapai persetujuan.
 
Mengikut Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, sekiranya kedua-dua hakam tidak bersepakat, maka hakam tersebut digugurkan oleh mahkamah.
 
Hakim juga telah menetapkan 27 Februari 2020 untuk melantik hakam yang baru yang mempunyai kuasa untuk melafazkan cerai bagi pihak suami.
 
Sharnaaz dan Nabila bernikah pada 31 Mac 2017 di Hotel Royale Chulan, Damansara, Selangor.
 
Hasil perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden Ahmad.

 

 

 

Sumber: Astro Awani

No votes yet