15 December 2019, Sunday | 03:20pm

Joker, 'masterpiece' yang sarat dengan kisah tersirat

2019-10-03

 

SETELAH sekian lama hebahan bagi filem Joker lakonan Joaquin Phoenix ini rancak di internet dan respon positif dari pengkritik filem serta menerima 8 minit ‘standing ovation’ ketika tayangan istimewa di Festival Filem Venice, akhirnya hari ini rasmi Joker ditayangkan di Malaysia.

‘Masterpiece’, itu yang penulis boleh katakan sepanjang dua jam dua minit tayangan filem arahan Todd Philips ini. Dari babak pertama sahaja kita dapat merasai kesakitan dan keperitan seorang manusia yang ingin mengecap kebahagiaan, namun sebaliknya hanya merasa kosong dan keliru.

Arthur Fleck ataupun Joker bekerja sebagai seorang badut yang menceriakan orang lain dan bercita-cita menjadi ‘stand-up comedian’ (pelawak pentas). Tetapi beliau sering digunakan dan tiada siapa yang mengambil serius tentang dirinya. Bayangkan, anda bekerja untuk menggembirakan orang lain, tetapi anda sendiri tidak gembira -- satu kesakitan yang sukar digambarkan, namun ia amat sakit.

Tidak dinafikan, Joaquin Phoenix berjaya membawa watak Arthur Fleck dengan sangat baik sehingga senyuman dan ketawa beliau bukannya senyuman dan ketawa yang gembira tetapi sebaliknya. Selain daripada itu, perkembangan watak Joker yang berubah menjadi seorang individu gila itu, dapat kita rasai. Filem ini juga mempunyai elemen ‘slow burn’ yang cukup rempah.

]
Plot dan jalan cerita filem ini mudah tetapi tidak banyak filem yang plot mudah tetapi sarat dengan cerita yang tersirat. - Youtube/Warner Bros. Pictures
 

Bagi elemen lain pula, skor muzik yang digunakan juga sangat membantu dan kena pada masanya, tidak lebih dan tidak kurang. Robert De Niro walaupun tidak banyak waktu skrinnya, tetapi wataknya banyak membantu.

Sinematografi yang menarik, kita juga dapat menyingkap ke dalam Arkham Asylum, dan ‘rujukan’ untuk Joker versi Heath Ledger juga cukup membuatkan kita merasa rindu dengan Joker versi tersebur berserta adegan-adegan menarik dalam filem The Dark Knight (siapa yang perasan akan tahu).

Secara umum, filem ini adalah mengenai salah satu kisah asal usul watak ‘The  Clown Prince of Crime’ dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana filem DC yang lain seperti Suicide Squad dan lain-lain (bagi yang tertanya-tanya).

Penulis bersetuju dengan sebahagian pengkritik filem yang menyatakan plot dan jalan cerita filem ini mudah tetapi tidak banyak filem yang plot mudah namun sarat dengan kisah yang tersirat.

Bagi penulis, sebuah filem yang hebat adalah sebuah filem yang rapat dengan penonton dan melambangkan dunia realiti. Ia bukan filem aksi, tetapi filem realiti yang memberitahu bahawa kita semua mempunyai 'topeng' kita sendiri, 'kegilaan' kita sendiri dan ada antara kita yang hanya menunggu masa untuk membuka 'topeng' tersebut kerana sudah bosan dengan sistem yang ada.

Banyak yang kita dapat lihat dalam filem ini -- dari isu depresi, penyakit mental, politik, masyarakat, kekeliruan identiti, penderaan, dan isu si miskin dipijak oleh si kaya. Kita semua ingin dilihat dan didengari. ‘Joker’ filem sangat wajib ditonton untuk 2019. 11/10.

 

 

Sumber: Astro Awani

Average: 5 (1 vote)