Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di Shah Alam adalah 133, Klang (121), Banting (120), Johan Setia, Klang (158), Petaling Jaya (135) dan Kuala Selangor (106).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

 

KEADAAN jerebu di kawasan lebuh raya Kesas menuju Pulau Indah, Klang. Selangor semalam. - UTUSAN ONLINE/ MOHD. SHAHRANI SAIBI

 

Jabatan Kesihatan Selangor semalam menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat keadaan berjerebu yang sedang melanda negeri itu kini.

Antara langkah pencegahan yang disyorkan adalah memastikan udara di dalam rumah atau bangunan sentiasa bersih dengan menghindarkan pencemaran asap rokok; menutup tingkap bagi mengelakkan asap jerebu memasuki rumah atau bangunan, mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, serta minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Orang ramai boleh merujuk laman web http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui tahap IPU terkini. - BERNAMA