9 August 2020, Sunday | 10:59am

Jepun masukkan Mexico, 12 negara dalam senarai larangan

2020-05-15

TOKYO, 15 Mei  -- Jepun menyenaraikan Mexico dan 12 negara lain dalam senarai larangan kemasukan berkuat kuasa pada Sabtu dalam usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19, kata Perdana Menteri Shinzo Abe pada Khamis.

Negara lain ialah Azerbaijan, Bahama, Cabo Verde, Colombia, Equatorial Guinea, Gabon, Guinea-Bissau, Honduras, Kazakhstan, Maldives, Sao Tome dan Principe dan Uruguay.

Pelancong asing termasuk penduduk tetap yang pernah ke negara berkenaan dalam dua minggu dari tarikh ketibaan tidak dibenarkan masuk ke Jepun, lapor agensi berita Kyodo.

Kementerian Luar Jepun pada Selasa menaikkan tahap nasihat perjalanan untuk 13 negara ke Tahap Tiga, kedua tertinggi, dan menggesa rakyat tidak melakukan perjalanan ke negara terbabit.

Setakat ini 100 negara telah disenarai hitam termasuk Amerika Syarikat, China dan seluruh Eropah.

Kedatangan pelawat asing ke Jepun merudum lebih 90 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sekaligus memberi tamparan hebat kepada negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

Walaupun warga Jepun dikecualikan daripada larangan masuk, mereka diwajibkan menjalani saringan COVID-19 dan dikuarantin selama dua minggu sejurus ketibaan.

Sumber: BERNAMA

 

No votes yet