17 July 2019, Wednesday | 03:44am

Jelajah muzik Khai, Wany, Sufian

2019-04-16

 

MENGADAKAN sebuah konsert sememangnya menjadi impian besar bagi mana-mana penyanyi kerana di situlah titik utama kepuasan mereka selaku penghibur bermula.

 

Biarpun masih baharu dalam lapangan seni suara, namun populariti yang diraih sesetengah anak muda pada masa kini memungkinkan segalanya untuk berlaku.

 

Hanya berbekalkan jumlah lagu yang sedikit, mereka tetap berpeluang menjayakan sebuah persembahan tidak kiralah apa jua skalanya.

 

Tidak terkecuali buat tiga penyanyi muda berbakat besar yang terdiri daripada Khai Bahar, Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi yang bakal muncul dengan siri jelajah konsert Trio Concert Tour 2019 bermula 13 Julai depan.

 

Sebagai persinggahan pertama, Trio Concert Tour 2019 akan menemui peminat di Expo @ Danga City Mall, Johor Bahru, Johor sebelum beralih ke Pantai Timur iaitu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) pada 17 Ogos.

 

Lokasi ketiga siri jelajah tersebut pula akan berlangsung di Stadium Sultan Abd. Halim, Alor Setar, Kedah pada 5 Oktober sebelum diadakan di lokasi terakhir iaitu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

 

Asah kemahiran

 

Bagi Khai Bahar, pentas konsert dilihat sebagai platform terbaik untuk membuktikan kemampuan bakat mereka sementelah pendatang baharu sepertinya kerap menjadi bahan kecaman segelintir netizen yang memandang rendah akan kebolehannnya untuk menyanyi secara langsung.

 

“Peluang sebegini bukan selalu kami dapat. Mengadakan persembahan biasa dengan konsert jauh bezanya. Saya lihat ini peluang terbaik untuk masing-masing menambah pengalaman,” katanya.

 

Secara peribadi, Wany, 27, juga sama seperti mana-mana penyanyi generasi baharu lain yang memasang impian untuk mengadakan sebuah persembahan berskala konsert demi menghargai peminat yang tidak putus memberi sokongan.

 

Biarpun jauh dalam lubuk hatinya diamuk dan berselirat segala perasaan terutama takut kerana bimbang dengan pandangan umum, namun apabila berpeluang mengadakan konsert bersama rakan seperjuangan seperti Khai dan Sufian, tawaran sedemikian jauh lebih bermakna untuk dikenang.

 

“Apa yang paling saya bimbang adalah pandangan orang terhadap saya sebab sejak pertama kali bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) pada tahun lalu, bermacam kritikan diterima. Paling terkesan adalah komen yang mengatakan saya tidak boleh menyanyi secara langsung.

 

“Jadi, konsert sebegini adalah peluang untuk membuktikan bahawa saya boleh menyanyi. Sebab itu, kelas vokal sangat penting,” katanya yang merancang menyelitkan elemen tradisional dalam persembahannya.

Berbeza dengan Sufian, dia lebih mementingkan perjalanan konsert yang seharusnya dibikin dengan formula berkesan bagi memastikan setiap peminat pulang dengan hati gembira.

Peminat berkunjung ke konsert bukan sekadar duduk dan dengar persembahan, sebaliknya pelantun lagu Terakhir itu mahukan sesuatu yang lebih besar.

 

“Pendekatan saya untuk peminat pada setiap acara sangat berbeza. Menerusi konsert ini, saya

mahu cari satu formula untuk buat peminat tidak berasa bosan.

 

“Persembahan saya ketika AJL33 baru-baru ini masih segar. Ada kemungkinan besar saya mahu bawa aura persembahan itu ke pentas konsert nanti.

 

“Tetapi itu tidak bermakna saya mahu bawa pelamin ke pentas konsert. Cukuplah kalau sekadar saya bawa kembali aura dari segi penghayatan dan susunan muzik,” katanya.

Karier

 

Berkongsi perkembangan terkini, Sufian bakal melancarkan sebuah buku puisi tulisan sendiri tidak lama lagi yang merupakan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Menjelaskan lanjut, buku yang sudah disiapkan sebanyak 70 peratus tersebut terisi karya tulisan Sufian, kebanyakan menggunakan judul lagu-lagunya.

 

“Saya memang suka menulis, jadi apabila diberi kepercayaan oleh UUM untuk menghasilkan sebuah naskhah yang tidak berpaksikan kisah seni semata-mata, saya rasa ini adalah peluang terbaik.

 

“Kesemua puisi itu menggunakan judul lagu saya tetapi ditulis dari sudut berbeza contohnya kekeluargaan. Secara tidak langsung, buku itu sisi baharu Sufian Suhaimi untuk ditonjolkan kepada masyarakat,” cerita Sufian tentang buku yang akan dilancarkan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

 

Beralih tentang perkembangan karier Wany Hasrita pula, tidak keterlaluan jika si manis tinggi lampai itu dikatakan sedikit tenggelam biarpun menyandang gelaran Bintang Paling Popular pada Oktober tahun lalu.

 

Entah di mana silapnya, penyanyi berusia 27 tahun itu turut mengakui bimbang dengan situasi takat didihnya yang kian menyusut.

 

“Risau memang ada tetapi ini semua soal rezeki. Kalau tiada peminat, rasanya nama saya sudah mati. Disebabkan peminatlah saya mampu bertahan sehingga ke hari ini.

 

“Jadi, saya mengharapkan tuah agar lagu baharu iaitu Terlalu Memuja mampu kembali menghangatkan nama saya. Kalau tidak, saya perlu ubah strategi. Mungkin dengan cara menukar genre muzik,” katanya yang akan tampil dengan sebuah lagu duet bersama Datuk Jamal Abdillah.

 

Dalam pada itu, Khai Bahar berkongsi sedikit perkembangan terkininya yang bakal melancarkan album sulung mengandungi sebanyak 11 buah lagu, termasuk lima lagu baharu ciptaannya sendiri.

Album tersebut sedang dalam proses pembikinan dan dijangka dilancarkan menjelang hujung bulan ini.

 

Menyedari hakikat industri muzik masa kini yang berisiko untuk seseorang artis melancarkan sebuah album, penyanyi berusia 25 tahun itu tampil dengan idea mengecilkan skop jualan album berkenaan hanya untuk peminat tegar.

 

“Selalunya orang letakkan jangkaan kalau kita buat album sama ada dijual di pasaran secara besar-besaran. Tetapi untuk album ini, pasarannya sekadar kecil-kecilan.

 

“Sasaran penjualan memang untuk peminat saya sahaja. Biarpun kecil tetapi saya anggap ini satu hadiah bermakna untuk peminat. Kalau dijual kepada bukan peminat, belum tentu mereka akan membelinya,” tutup Khai.

 

Buat julung-julung kali, trio penyanyi muda Khai Bahar, Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi bakal berganding dalam sebuah penganjuran konsert jelajah, The Trio Tour 2019 yang akan berlangsung di empat lokasi bermula Julai depan.

 

Sumber:Kosmo/http://tinyurl.com/yxdmzk8w

 

No votes yet

Tags: