23 January 2020, Thursday | 01:16pm

JDT II umum import baharu

2020-01-08

 

BEKAS penyerang Kedah, Fernando Rodriguez diumumkan sebagai pemain import baharu yang ditandatangani Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengharungi Liga Malaysia musim hadapan.

Pemenang Kasut Emas Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu juga akan bergandingan dengan seorang lagi import baharu dari Jepun, Kei Hirose di Pasukan JDT II yang beraksi di Liga Perdana.

Fernando yang berusia 32 tahun itu akan memantapkan bahagian serangan sementara Kei, 24 tahun yang sebelum ini beraksi bersama Kelab Indonesia, Persela Lamongan akan bermain di posisi tengah.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, kedua-dua pemain yang mempunyai kebolehan beraksi di posisi menyerang itu akan bersama dengan kelab untuk dua musim yang telah dipersetujui.

“Sebab mengapa kami di JDT memilih untuk mengambil dua pemain yang berkaliber ini adalah kerana mereka memang sesuai dengan falsafah kelab dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Kedua pemain ini juga kita lihat akan memikul tanggungjawab besar di JDT, mereka juga tahu yang mereka akan bermain dengan pemain muda di JDT II serta perlu bantu pemain-pemain ini berkembang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JDT di Iskandar Puteri hari ini.

Alistair turut mengakui kedua-dua pemain berkenaan juga akan menjadi senjata tambahan buat skuad utama JDT untuk menjalani mana-mana saingan domestik atau luar negara sekiranya diperlukan.

 

“Kita tahu JDT sentiasa mempunyai musim sukar dan jadual padat, kita lihat dengan adanya Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan paling utama Liga Juara-Juara Asia (ACL). Jadi kemungkinan pemain ini beraksi dengan skuad utama itu ada.

“Jadi jangan terkejut bila kedua-dua ini main dengan JDT, perbincangan juga kita telah capai dengan kedua-dua pemain ini yang mereka juga boleh diturunkan untuk saingan ACL pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Fernando berkata, dia teruja untuk bermain bersama salah satu kelab terbaik Malaysia ini selain bersedia memberikan kerjasama untuk pembangunan pemain-pemain muda di kelab.

“Ia satu peluang terbaik untuk beraksi bersama JDT, kita tahu ia kelab yang bagus dan berada di tahap tertinggi. Buat masa ini saya tiada masalah dan boleh sesuaikan diri dengan gaya permainan pasukan,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian

Foto: semuanyabola.com

No votes yet