23 August 2019, Friday | 06:49pm

'Jangan pilih bulu' - Syed Saddiq

2019-08-16

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) jangan bodoh sombong.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya perlu berganding bahu menjalinkan kerjasama membangunkan landskap bola sepak negara sekali gus memastikan segala yang dirancang sebelum ini dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Beliau berkata, usaha membangunkan bola sepak bukanlah hanya tertakluk kepada satu pihak atau individu semata-mata, namun memerlukan kerjasama sama daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi memastikan segala yang dirancang berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, perkara terbabit sangat penting bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara seterusnya melahirkan lebih ramai pemain berstatus bintang pada masa akan datang.

“Pembangunan landskap bola sepak negara tidak hanya membabitkan satu pihak saja iaitu apabila kita susah, kita susah bersama dan senang sudah tentu bersama kongsi kesenangan itu.

“Oleh itu, saya mahu KBS jalinkan kerjasama dengan semua pihak terutama mereka yang ikhlas membangunkan bola sepak negara,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian aksi Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Perjanjian antara FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi gelanggang sendiri kepada skuad kebangsaan sehingga 31 Disember 2020.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, penjualan tiket dalam talian sepenuhnya untuk perlawanan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil dapat memudahkan penyokong bola sepak membelinya tanpa perlu berebut atau beratur panjang seperti yang berlaku sebelum ini.

“Saya masih ingat lagi pernah beratur hingga tiga jam setengah untuk membeli tiket perlawanan bola sepak membabitkan skuad kebangsaan, namun akhirnya habis sekali gus menunjukkan begitu sukar memperoleh tiket terbabit.

“Malah, ada rakan mendakwa ulat tiket mudah mendapatkannya tanpa perlu beratur panjang. Oleh itu tiket dalam talian ini mampu menyelesaikan masalah terbabit nanti,” katanya.

 

 

 

Sumber: Harian Metro

Foto: peraktoday.com.my

 

No votes yet