13 December 2019, Friday | 12:49pm

Jalur Gemilang bintang lima: Sim mahu tindakan tegas, MABA mohon maaf

2019-11-26

 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim tetap mahu tindakan tegas ke atas pihak yang bertanggungjawab berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.

Katanya, beliau telah menghubungi Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk mendapatkan penjelasan beliau.

“Saya menegaskan bahawa satu tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana hal berkaitan Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan.

“Pihak MABA akan mengadakan sidang media pagi ini untuk memberikan penjelasan lanjut kepada Rakyat Malaysia.

“Jalur Gemilang maruah Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

 

Semalam, semasa perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28, di Kuala Lumpur, bendera Malaysia dengan lima bintang itu dipaparkan menerusi klip video ketika lagu Negaraku berkumandang.

MABA malam tadi juga memohon maaf berhubung perkara itu.

“Kami memohon maaf atas kesilapan ini, dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

“Tolong maafkan kami, kerana kami sentiasa berusaha membangunkan sukan bola keranjang di Malaysia,” kata persatuan itu.

 

 

Sumber: Malaysiakini

 

No votes yet