20 October 2019, Sunday | 02:22am

Israel sekat permit perjalanan pemain bola sepak Gaza

2019-09-24

 

GENTING GAZA - Israel menyekat permit perjalanan pemain pasukan bola sepak Gaza yang berhasrat mahu menyeberangi Israel untuk ke Tebing Barat bagi menyertai perlawanan akhir menentang kelab Palestin.

Pasukan Khadamat Rafah dijadualkan bertemu Balata FC pada esok, namun tanpa permit perjalanan Israel, perlawanan itu dijangka tidak dapat berlangsung seperti dirancang.

"Ini adalah bukti yang jelas menunjukkan pendudukan Israel sememangnya kejam.

"Kami menegaskan bahawa ini adalah hak kami dan akan melakukan segala usaha untuk memastikan pasukan ini dapat menyertai perlawanan tersebut," kata Ketua Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub yang turut mengemukakan isu itu kepada setiap peringkat FIFA.

 

Pemain Khadamat Rafah (jersi hijau) ketika menyertai Perlawanan Piala Akhir Palestin di Rafah di selatan Genting Gaza pada 30 Jun lalu. - Foto: AFP
 
 

Sebelum ini, Rajoub telah sekian lama melobi FIFA untuk mengenakan sekatan ke atas Israel atas tindakannya menyekat gerakan pemain Palestin.

Di bawah peraturan persatuan itu, pemenang Liga Gaza akan menghadapi dua perlawanan di Genting Gaza dan Tebing Barat.

Perlawanan di bandar Nablus di Tebing Barat telah ditangguhkan selama dua bulan kerana masalah permit perjalanan.

Difahamkan juara perlawanan akhir itu akan mara dalam Liga Juara-Juara Asia. - Agensi

 

 

 
Sumber: Sinar Harian

No votes yet