23 September 2019, Monday | 09:43am

Indonesia mohon maaf pada Malaysia

2019-09-06
MENTERI Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi memohon maaf kepada Malaysia berhubung kekecohan yang berlaku ketika aksi Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno pada Khamis malam.
 
Permohonan maaf itu dikemukakan oleh Imam secara peribadi kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu pertemuan di Jakarta pada Jumaat.
 
“Kehadiran saya untuk menyampaikan langsung permohonan maaf atas nama masyarakat dan pemerintah Indonesia atas peristiwa tidak mengenakkan atas kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong (Indonesia) seperti yang kita sama-sama lihat semalam," kata Imam kepada media seperti dilaporkan agensi berita ANTARA.
 
Dalam masa sama, Imam berharap, pertemuan dengan rakan sejawatannya itu dapat menyatukan kembali persahabatan antara penyokong Indonesia dan Malaysia.
 
Selain mengadakan pertemuan empat mata dengan Syed Saddiq, Imam juga berkata, kerajaan Indonesia juga akan mengirim surat permohonan maaf kepada kerajaan Malaysia sebelum pasukan negara itu bertandang ke Kuala Lumpur pada November ini.
Imam turut menegaskan, pihaknya bersama-sama dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia akan mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik kekecohan yang berlaku semalam.
 
Sementara itu, Syed Saddiq menyambut baik permohonan maaf yang dikemukakan oleh Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia.
 
Namun begitu, Syed Saddiq juga mengharapkan pelaku kekecohan pada perlawanan antara pasukan Harimau Malaya dan Garuda dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
 
"Kami ucapkan terima kasih atas pendirian tegas Pak Imam (Nahrawi) untuk pastikan bahawa akan berlaku keadilan pada masa depan.
"Bahkan beliau (Imam) juga sudah berhubung dengan pihak polis untuk memastikan tindakan tegas akan diambil," tegas Syed Saddiq.
 
Syed Saddiq juga menegaskan, bahawa Malaysia dan Indonesia akan tetap bersama.
 
"Kita sahabat serumpun. Kita akan pastikan bahwa silaturahim akan terjaga walaupun tindakan tegas akan diambil, tapi kita tetap bersama dalam menyelesaikan ini,” tambah Syed Saddiq lagi.
 
Perlawanan antara dua pasukan negara Harimau Malaya dan Garuda sempena kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta semalam tercemar dengan insiden rusuhan yang dicetuskan oleh penyokong tempatan.
Penyokong Malaysia dilempari dengan pelbagai objek sehingga menyebabkan ada yang cedera.
 
Tindakan itu menyebabkan pertandingan dihentikan selama 10 minit pada separuh masa kedua.
 
Pasukan Malaysia bagaimanapun berjaya membenam Indonesia dengan kemenangan 3-2.
 
Sumber - Astro Awani https://bit.ly/2m2WKZu
 
Kredit gambar - Astro Awani
 

Average: 5 (1 vote)