19 October 2019, Saturday | 09:23pm

Ibarat telur di hujung tanduk

2019-04-23

KELANTAN bakal dilanda 'malapetaka' apabila pengendali pasukan, Yusri Che Lah secara terbuka menyatakan hasrat sedia meninggalkan The Red Warriors (TRW) jika pemain terus memperagakan aksi di bawah keupayaan sebenar dalam baki saingan Liga Premier musim ini.

Kekecewaan anak jati Perlis itu berasas apabila skuad kendaliannya dimalukan de­ngan kekalahan 2-5 tanpa belas kasihan oleh Negeri Sembilan pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Tanpa berselin­dung Yusri meluahkan, beliau ke­cewa dengan per­sembahan anak-anak buahnya yang seolah-olah tidak menggambarkan corak permainan sebenar berbanding ketika di bawah bimbingannya sebelum ini.

Menurutnya, jika mentaliti itu terus diperagakan, maka beliau lebih rela ‘angkat kaki’ lebih awal daripada kekal membimbing Kelantan.

Ujarnya, beliau menerima lamaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) disebabkan oleh karakter yang ada pada setiap barisan pemain TRW.

“Saya ingin berlaku jujur dan berterus terang, jika tiada sebarang perubahan sikap (pemain Kelantan) lebih baik saya keluar.

“Buat apa saya mahu menjahanamkan reputasi sebagai jurulatih. Ketika bersama Kuala Lumpur, saya keluar tanpa ada masalah. Tapi saya rasa ada tanggungjawab terhadap Kelantan,” katanya.

Pada aksi kelmarin, Kelantan dilanda bencana apabila tumbang 2-5 kepada Ne­geri Sembilan menerusi jari­ngan hatrik anak jati Kelantan, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-12, 43 dan 50 sebelum Jose Barros Neto (m-54) dan 
Mohammad Ridzuan Abdunloh (m-56) menambah derita TRW.

Gol saguhati Kelantan pula disumbangkan menerusi Flavio Beck Junior pada minit ke-15 dan Muhammad Hakimi Abdullah (m-90+1).

Yusri memberitahu, jika corak itu terus dipersembahkan, tidak mustahil Kelantan akan terus dihukum pada perlawanan akan datang.

Jelasnya, pemain import dari Afghanistan, Mustafa Zazai berkemungkinan akan disingkirkan pada jendela perpindahan kedua bulan depan dan beliau hairan bagaimana pemain itu boleh berada dalam pasukan.

“Saya kena berterus terang, dia bukan pemain import berkualiti yang boleh membantu Kelantan sedangkan pasukan ini sinonim dengan kejayaan,” ujarnya.

KOSMO

 

Average: 3 (1 vote)

Tags: