17 June 2019, Monday | 06:01pm

Hup Wei tepati jangkaan emas

2019-05-23

BANGKOK – Jagoan lompat tinggi negara, Lee Hup Wei tidak berdepan masalah untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand di Stadium Nasional Suphchalasai semalam.

 

Hup Wei, 32, melakukan lompatan mengatasi had ketinggian 2.20 meter (m) sekali gus menewaskan pemenang di tempat kedua dari Kelab Olahraga Ho Chi Minh City, Vo Ngoc Long Cao yang mencatat 2.11m.

Pemenang pingat gangsa pula dari Taiwan, Ping Yan Huang juga sekadar mencatat 2.11m.

Bagi Hup Wei, juara Kejohanan Asia 2007 itu bercadang untuk melakukan lompatan lebih bagus dengan mengatasi had ketinggian 2.30m pada kejohanan seterusnya iaitu Grand Prix (GP) Asia di Chongqing, China bermula 4 hingga 6 Jun depan.

“Saya memang sasar untuk melepasi had 2.20m sahaja pada kejohanan ini kerana keadaan badan saya sangat letih disebabkan cuaca sangat panas ketika ini.

“Saya sebenarnya hampir berjaya melepasi had 2.25m tadi (semalam) tetapi gagal. Sekarang saya letak sasaran baharu pada GP Asia bulan depan.

“Kalau boleh saya mahu lepas had ketinggian 2.30m untuk layak ke Kejohanan Olahraga Dunia 2019 di Doha, Qatar pada September depan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hup Wei juga sudah awal melayakkan diri ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina pada November depan selepas mengatasi had kelayakan 2.18m.

Sementara itu, atlet 110 meter (m) lari berpagar negara, Mohd. Rizzua Haizad Mohamad berjaya meraih pingat gangsa pada saingan hari terakhir kejohanan dengan catatan masa 14.22 saat (s).

Selain itu, kuartet 4x100m negara diwakili Mohd. Saiful Safwan Sahabuddin, Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Mohd. Ilham Suhaimi dan Abdul Wafiy Roslan terpaksa akur menutup kempen Terbuka Thailand dengan kejayaan meraih pingat perak.

Sumber:Kosmo/bit.ly/2JB9ilw

 

No votes yet