19 October 2019, Saturday | 09:10pm

Hannah Yeoh puji 'budak nakal' Subang Jaya, Joe Flizzow

2019-08-16

 

"Budak Subang Jaya memang ada gaya" - kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh ketika menjadikan Joe Flizzow sebagai contoh bagi menunjukkan budak 'nakal' juga boleh berjaya

Hannah berkata, seseorang budak nakal boleh mengecapi kejayaan sekiranya mereka tahu menggunakan bakat yang ada pada diri masing-masing selain bijak menyeimbangkannya dengan minat.

“Penyanyi rap @flizzow dan saya adalah rakan sekolah. Saya adalah ketua pengawas dan dia seorang yang nakal.

“(Tapi) hari ini dia mempunyai lebih ramai pengikut daripada saya. Pelajaran? Berbakat dan menggunakan bakat dengan minat adalah kunci kejayaan,” ciapnya di Twitter.

Melalui semakan Malaysiakini setakat tengah hari ini, kenyataan itu mendapat 1,200 ulang kicau dan 1,600 tanda suka.

Bagaimanapun, pendapat itu tidak dipersetujui segelintir pengikut Hannah yang menyatakan kejayaan seseorang tidak boleh diukur melalui seberapa banyak bilangan pengikut di media sosial.

 

 

 

Hannah kemudian membalas dengan meminta umum membaca kenyataan diberikan secara menyeluruh.

“Seseorang itu akan berjaya apabila dia mengetahui kelebihannya dan berusaha dengan penuh kesungguhan setiap hari

“Kesungguhan yang anda tunjukkan akan dicontohi orang lain. Joe melakukannya dengan sangat baik. @flizzow sudah berjaya di luar Malaysia,” ciapnya lagi.

Joe atau nama aslinya Johan Ishak, merupakan bekas anggota Too Phat yang kini bergerak solo.

Dia juga merupakan pengasas dan pemilik Kartel Records, yang menaungi artis seperti Altimet, Sona One, Ila Damiaa, dan Dj Scza.

Selain muzik, Joe turut menceburi bidang perniagaan dengan perusahaan kedai gunting rambut dan makanan yang terletak di Subang Jaya.

 

Sumber: Malaysiakini

No votes yet