21 November 2019, Thursday | 09:56am

Guna rakaman suara ahli keluarga Nora

2019-08-08

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) akan menggunakan rakaman suara ahli keluarga Nora Anne Quoirin, 15, dalam usaha pencarian remaja warga Ireland itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumpa keluarga remaja itu pagi ini, bagi berbincang dan mendapatkan persetujuan mereka.

“Kita akan merakam suara ahli keluarga yang paling rapat dengan mangsa sama ada ibu atau adiknya untuk menyebut nama mangsa mungkin dia ada nama manja atau gelaran tertentu.

“Suara itu kita akan gunakan ketika operasi SAR. Kita harap ia akan dapat membantu menarik perhatian mangsa apabila mendengar suara orang yang rapat dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat berhampiran lokasi kejadian di Pantai, Seremban, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar.

Menurut Mohd Nor Marzukee, selain rakaman suara itu, anggota yang terbabit operasi berkenaan akan turut menjerit memanggil nama mangsa.

“Walaupun sudah lima hari, jika ketahanan badan mangsa kuat dan mendapat sumber air, mangsa mungkin boleh bertahan cuma keletihan atau tertidur. Jadi apabila dengar suara orang memanggilnya... mungkin akan mengejutkannya,” katanya.

Katanya, usaha pencarian terbabit juga mendapat bantuan helikopter berteknologi canggih dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang dapat melihat kehadiran mangsa di dalam hutan tebal selain menggunakan dron.

Beliau berkata, seramai 252 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi SAR pada hari kelima ini.

“Kami mengalukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk tampil menyalurkan maklumat itu supaya tindakan dapat diambil segera.

“Orang ramai juga diminta membantu dengan apa juga cara termasuk mengadakan solat hajat bagi yang beragama Islam dan mengikut cara agama masing-masing supaya operasi pencarian remaja itu berjaya,” katanya.

 

 

 

 

 

Sumber: Metro              https://bit.ly/2YtxSMO

Gambar: mirror.co.uk

No votes yet