9 December 2019, Monday | 04:38am

Graduan AMD bernilai RM209,605

2019-09-19

 

KUALA LUMPUR: AS$50,000 atau RM209,605 untuk satu 'kepala'.

Itu anggaran 'harga' yang perlu dibayar oleh setiap pasukan yang berhajat untuk mendapatkan graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebagai pampasan kepada akademi elit itu yang berhempas pulas membangunkan potensi pemain terbabit.

Peguam undang undang sukan, Zhafri Aminurashid menjelaskan ketetapan itu sememangnya termaktub dalam peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang membolehkan setiap akademi 'menuntut' pampasan latihan ke atas setiap pemain di bawah kendalian mereka.

"Berdasarkan ketetapan mengikut konfederasi dan kategori, Malaysia berada dalam Kategori Tiga di mana akademi boleh menuntut pampasan maksimum AS$10,000 (RM41,813) bagi setiap tahun.

"Mengambil kira graduan AMD yang sudah pun berlatih selama lima tahun, jadi bolehlah kita membuat anggaran kasar di mana pampasan latihan adalah lebih kurang AS$50,000 (RM209,605) bagi tempoh lima tahun.

"AMD berhak untuk memperolehi bayaran berdasarkan perbelanjaan latihan yang diberikan kepada pemain. Namun ia turut bergantung kepada persetujuan kelab baharu dan ini adalah normal dalam bola sepak," katanya.

Sebagai rekod, tiada negara berada dalam kategori Satu bagi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) namun Kategori Dua memperuntukkan tuntutan sebanyak AS$40,000 (RM167,284) manakala Kategori Empat pula sebanyak AS$2,000 (RM8,364) bagi setiap tahun.

Terdahulu,  pasukan yang berminat untuk mendapatkan 'graduan' daripada AMD boleh dikenakan bayaran membabitkan kos tertentu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan kos bayaran itu terdapat dalam sistem peraturan atau undang-undang bola sepak dunia.

 

Sumber: Berita Harian

Foto: stadium.gov.my

No votes yet