17 June 2019, Monday | 06:05pm

Dua rakan maut kereta dinaiki bertembung lori tangki di Tapah

2019-05-15

TAPAH – Dua rakan maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 52.8, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, mangsa seorang lelaki, Cheong Shaun Wei, 36, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dan rakan wanitanya, Yow Xue Yei, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kedua-dua mangsa itu sedang dalam perjalanan dari Bidor menghala ke Kampar.

“Tiba di tempat kejadian, kereta Myvi tersebut tiba-tiba memasuki laluan bertentangan menyebabkan kereta itu bertembung dengan sebuah lori tangki.

“Lori tangki yang berada di laluan yang sah tidak sempat mengelak kereta mangsa dan melanggar bahagian hadapan kereta tersebut sebelum ia berpusing beberapa kali dan masuk ke dalam parit di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Wan Azharuddin, akibat kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang kereta mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat.

“Pemandu lori tangki berusia 28 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE

 

No votes yet