23 October 2020, Friday | 10:12am

Dana COVID-19 dijumpai pada seluar dalam, Senator Brazil didesak letak jawatan

2020-10-16

BOGOTA: Seorang senator di Brazil didesak meletakkan jawatan setelah polis menemukan wang tunai yang disembunyikan pada seluar dalamnya semasa rumahnya digeledah.

Serbuan di kediaman Chico Rodrigues itu dilakukan pihak berkuasa pada Khamis susulan dakwaan penyalahgunaan 20 juta reais (kira-kira RM14.5 juta) dana awam untuk memerangi koronavirus.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataannya berkata 30,000 reais (kira-kira RM20,7000) ditemukan di dalam rumah anggota kongres itu manakala sebahagian lagi wang dijumpai diselit pada seluar dalamnya.

“Amat memalukan.

“Untuk menggambarkan betapa dahsyatnya situasi itu, ada beberapa keping wang yang dirampas telah dicemari najis,” lapor Revista Crusoé, majalah konservatif yang membongkar berita ini.

Rodrigues berkata beliau akan membuktikan bahawa dia tidak terlibat dengan rasuah.

"Rumah saya diceroboh kerana saya telah menjalankan tugas sebagai penggubal undang-undang, mendapatkan sumber bagi negeri untuk memerangi COVID-19.

"Saya percaya pada keadilan dan saya akan membuktikan bahawa saya tidak ada kaitan dengan tindakan haram."

Rodrigues mewakili negeri Roraima di Senat dan telah dipilih sebagai timbalan pemimpin pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.

Bolsonaro mendakwa serbuan itu adalah bukti bahawa beliau berjaya dalam usahanya memerangi rasuah tanpa memilih bulu.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet