6 December 2019, Friday | 03:29am

Daiyan Trisha jelajah Asia Tenggara

2019-12-03

 

KUALA LUMPUR: Penyanyi Daiyan Trisha menyifatkan peluang menjayakan konsert jelajah Asia Tenggara bersama penghibur kelahiran Amerika Syarikat (AS), Sam Tsui sebagai pemangkin melangkah jauh dalam bidang muzik.

Daiyan memberitahu, pengalaman menjadi artis yang mengisi slot pembukaan konsert Sam Tsui sejak pertengahan bulan lalu, menyemarakkan semangat berkongsi karya dengan peminat di luar negara.

“Syukur kerana saya diberi kepercayaan beraksi bersama Sam Tsui yang meninggalkan 1,001 pengalaman manis dalam kerjaya seni saya.

“Berdepan penonton dan bertemu ramai kenalan baharu di negara dikunjungi adalah sesuatu yang mengujakan.

“Sepanjang dua minggu pengembaraan di enam destinasi bermula di Singapura pada 17 November lalu, saya dapat menimba pengalaman, ilmu dan menyegarkan minda untuk mencari ilham,” katanya kepada BH Online.

Daiyan berkata, pengalaman beraksi di pentas gergasi sangat mendebarkan.

“Namun, Sam Tsui dan pasukannya memberikan sokongan padu kepada saya,” katanya yang mengenali penghibur dan komposer itu melalui kenalan.

Selain Singapura, penyanyi Kau Tahu itu membuka gelanggang untuk Konsert The Gold Jacket Tour Sam Tsui di Jakarta, Indonesia; Taipei, Taiwan; Bangkok, Thailand; Manila, Filipina dan Kowloon, Hong Kong.

Sementara itu, Daiyan memberitahu, dia terpaksa menolak tawaran membintangi drama dan pementasan sebuah teater di Istana Budaya kerana terikat dengan komitmen konsert jelajah dan projek pembikinan album sulung berbahasa Inggeris berjudul Daiyan Trisha the Album.

“Saya menjadi penerbit eksekutif bagi projek album yang mengandungi sembilan lagu ini. Produser lain adalah dari Malaysia dan Los Angeles (LA), AS.

“Enam lagu diterbitkan produser tempatan manakala tiga dendangan lagi dari LA. Demi memastikan segala-galanya lancar, saya terpaksa menolak tawaran berlakon drama dan teater.

“Namun, saya sempat menyempurnakan sebuah filem seram berjudul Sumpahan Jerunai yang bakal ditayangkan tahun depan,” katanya.

 

 

Sumber: Berita Harian

Foto: hype.my

No votes yet