29 February 2020, Saturday | 02:05pm

Daftar diri di kedutaan untuk keselamatan - Saifuddin

2020-01-08

 

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, hari ini menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan ke Asia Barat dan rantau Teluk supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka.

Beliau turut menggesa mereka yang belum mendaftar diri dengan misi diplomatik Malaysia, supaya berbuat demikian di kedutaan terdekat atau konsulat jeneral Malaysia dengan segera.

“Pendaftaran boleh dilakukan menerusi emel,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasukan petugas belia mengenai hal ehwal luar dan diplomasi di Wisma Putra, di sini.

Berikutan misi diplomatik Malaysia yang tidak aktif di Iraq, Syria dan Yaman, Saifuddin berkata rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau melancong di sekitar rantau itu perlu mendaftar dengan kedutaan berikut:

* Rakyat Malaysia di Iraq mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan.

* Mereka yang berada di Syria, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan.

* Rakyat Malaysia di Yaman, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman.

Saifuddin turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau berkenaan. – BERNAMA

 

Sumber: Berita Harian

Foto: msn.com

No votes yet